Categories: Acara

Pesta Makanan Tradisional 2019 di UPM Lestarikan Resipi Tradisional

 Ungkapan ‘tak kenal, maka tak cinta’ dan ‘sekali cuba, nak lagi’ sangat sesuai digunakan terhadap makanan tradisional yang mungkin tidak begitu menarik dilihat seimbas lalu, namun apabila dicuba, ia sedap dan membuatkan kita terasa mahu menikmatinya lagi.

Mazlinda Isa menunjuk laksa Penang di Pesta Makanan Tradisional Melayu 2019 di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Foto: NSTP/SALHANI IBRAHIM

Pulut panggang, keria gula Melaka, laksa Johor, laksam, ayam percik, bubur kacang dan pengat antara makanan tradisional yang ditawarkan oleh pengusaha makanan pada acara Pesta Makanan Tradisional Melayu, 2019 di Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Dr Zulkili Idris, berkata makanan tradisional mempunyai sejarah tersendiri dalam dunia kulinari kerana ia bukan sahaja merujuk kepada bahan yang digunakan, bahkan ada falsafah tertentu di sebaliknya.

Prof Zulkifli (dua kanan) melawat gerai makanan di Pesta Makanan Tradisional Melayu 2019 di Universiti Putra Malaysia, Serdang. NSTP/SALHANI IBRAHIM

“Makanan tradisional juga dianggap sebagai warisan tidak ketara yang ditafsir menerusi tradisi lisan merangkumi nilai-nilai adat dan budaya serta bahasa dan persuratan.

“Makanan tradisional ini juga diperturunkan sejak zaman nenek moyang daripada satu geneasi ke generasi yang  baru dan diharap peserta progam ini mendapat pendedahan yang lebih baik mengenai kewujudan kepelbagaiaian  jenis makanan tradisional Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan pesta berkenaan.

Prof Zulkifli juga berkata, beliau teruja melihat sambutan menggalakkan daripada pengusaha dan pengunjung sekali gus membuktikan sokongan terhadap makanan tradisional sentiasa ada.

Orang ramai mengunjungi gerai yang mengambil bahagian di Pesta Makanan Tradisional Melayu 2019 di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Foto: NSTP/SALHANI IBRAHIM

“Senario ini membuktikan sokongan kasih sayang kita terhadap seni dan warisan tanah air sejak zaman  berzaman tidak pernah luntur selain memberi suntikan kepada industri tradisional melahirkan modal insan yang berjati diri kebanagsaan dan patriotic.

“Selain itu, acara sebegini juga dapat menanamkan semangat warisan turun temurun dalam diri setiap peserta dan pengunjung selain mengembalikan dan memelihara kepentingan resipi Melayu yang semakin hilang dibawa arus kemodenan,” katanya.

Pesta Makanan Tradisional Melayu anjuran Muzium Warisan Melayu ini memasuki tahun ke-2 penganjuran yang berteraskan  warisan tradisional tanah air dan tema pada tahun ini ialah laksa.

Peserta pertandingan ukir buah di Pesta Makanan Tradisional Melayu 2019 di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Foto: NSTP/SALHANI IBRAHIM

Pesta sehari ini juga dimeriahkan lagi dengan pengisian demonstrasi memasak oleh cef jemputan daripada Hotel Tun Fatimah Riverside Melaka, persembahan kebudayaan oleh pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dan persembahan silat Tun Fatimah oleh pelajar Asrama Kasih, Yayasan Basmi Kemiskinan.

Shaidah Shafie