Categories: Eat Travel

Pernah tak anda makan pulut mangga, tetapi dalam versi bebola goreng?

Pulut mangga ialah sejenis juadah ringan yang disukai ramai dan banyak dijual di restoran atau kedai makan.

Popular di rantau Asia, ia lazimnya dihidang secara segar dengan bahan utamanya ialah pulut, hirisan mangga dan santan atau susu pekat.

Sedap, kan? Rasa manis daripada mangga, dicampurkan pula dengan rasa lemak daripada santan. Fuuuh, penuh nikmat!

Inilah cara hidangan pulut mangga yang tradisional. Tetapi pernah tak anda lihat hidangan pulut mangga yang dijadikan bebola dan kemudiannya digoreng?

Elemen goreng itu mungkin menyedapkan lagi snek ini, ataupun memberikan sentuhan unik. Anda kena cuba!

Jom ikuti resipinya di bawah ini yang dikongsikan oleh Tasty. Senang saja nak buat!

Bahan

  • ¾ cawan santan pekat (175g)
  • ¼ cawan gula Melaka (50g)
  • ½ sudu kecil garam
  • 1 biji mangga, dipotong kiub
  • 2 cawan air (470ml)
  • 1 cawan beras pulut (200g)
  • Tepung beras, untuk menyalut bebola
  • 1 tin susu sejat, opsyenal

Cara penyediaan

  1. Satukan santan, gula Melaka dan garam di dalam pan kecil di atas api sederhana. Sebaik sahaja gula cair, alihkan daripada api dan ketepikan.
  2. Buang kulit mangga dan potong kiub. Ketepikan.
  3. Di dalam pan bersaiz sederhana, panaskan air. Apabila ia sudah mendidih, masukkan beras pulut, dan perlahankan api hingga air mereneh. Tutupkan pan dan biarkan selama 15 ke 20 minit, atau hingga pulut masak sempurna.
  4. Pindahkan pulut ke dalam mangkuk besar. Tuangkan campuran santan ke atas pulut dan biarkan ia  serap sepenuhnya.
  5. Dengan tapak tangan yang disapu minyak, ambil segenggam pulut dan ratakannya di atas tapak tangan anda.
  6. Letakkan sekeping buah mangga di tengahnya. Kemudian ‘balut’ mangga itu dengan pulut tadi hingga ia menjadi bentuk bebola yang kemas. Lakukan perkara yang sama dengan pulut dan mangga yang selebihnya.
  7. Salutkan bebola itu dengan tepung beras dan goreng hingga garing dan berwarna perang keemasan.
  8. Untuk hidang, tuang susu sejat ke atas bebola. Dah siap!

Selamat mencuba!

Ad Ops