Empat atlet muda wanita bakal menggalas cabaran negara dalam acara ekuestrian di temasya 3rd Asian Youth Games (AYG) 2025 yang akan berlangsung di Manama, Bahrain bermula 23 Oktober ini.
Pasukan tersebut terdiri daripada YM Sharifah Ariel Budriah Jamalullail (15), Arissa Audreyna Edzwan (17), Sonia ‘Aisyah Abdullah (15) dan Elly Poh Jia Yi (16) yang akan bersaing dalam kategori Show Jumping di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, Shaiful Azwan.
Edisi kali ini bakal menghimpunkan lebih 4,300 atlet muda dari 45 negara Asia, melibatkan 21 jenis sukan termasuk ekuestrian. Ia merupakan penganjuran kali ketiga selepas Singapura (2009) dan Nanjing, China (2013) di bawah kelolaan Majlis Olimpik Asia (OCA).
Menurut Sharifah Ariel Budriah, persiapan menjelang temasya berprestij itu turut dijalankan di Arab Saudi bersama kuda yang akan digunakan di Bahrain.
“Saya telah menjalani latihan intensif di Belanda bagi persiapan sebelum ke temasya dan saya telah mendapat banyak ilmu yang luas untuk memantangkan lagi mutu tunggangan saya juga mendapat pendedahan menunggang pelbagai jenis kuda yang berkualiti yang mempunyai pelbagai berbezaan cara tunggangan.

“Selepas di Belanda, saya juga bakal menjalani latihan di Arab Saudi bagi persiapan ‘warm up’ untuk persediaan terakhir dan membawa kuda tersebut ke Bahrain. Ini amat penting bagi saya untuk mengenalpasti kuda yang bakal di gunakan semasa di Bahrain nanti.
“Saya harap kami dapat memberi yang terbaik pada pertandingan itu. Saya bersama Arissa, Sonia dan Elly sedang gigih berlatih dan bekerja keras untuk pertandingan ini. Doakan kami,” katanya.

Bagi Arissa Audreyna, yang sebelum ini pernah menyarung jersi negara di peringkat antarabangsa, peluang kedua ini menjadi ruang untuk menonjolkan peningkatan hasil latihan intensif selama sebulan di Belgium.
“Saya sangat teruja untuk mewakili Malaysia buat kali kedua. Latihan di Belgium memang lebih sukar kerana setiap kuda ada karakter tersendiri dan saya perlu mencari keserasian bersama diantara kami. Kadang-kadang agak menakutkan, tetapi saya perlu percaya pada diri dan kuda yang ditunggang,” katanya.
Tambahnya, aspek mental merupakan faktor penentu utama dalam sukan berkuda.
“Musuh terbesar sebenarnya adalah diri sendiri iaitu cara kita berfikir lebih-lebih lagi pertandingan semakin dekat. Jika kita takut, kuda juga akan rasa takut. Jadi saya kena terus percaya pada latihan dan naluri saya,” katanya.
Sementara itu, Sonia ‘Aisyah, peserta termuda pasukan, menyifatkan penyertaan kali pertama di pentas antarabangsa ini sebagai peluang berharga dan mencabar.
“Ini kali pertama saya mewakili negara di peringkat antarabangsa dan saya amat bangga dengan peluang ini dan berazam untuk melakukan yang terbaik.
“Saya telah menjalani latihan intensif di Belanda dengan menunggang beberapa kuda yang berpotensi tinggi dan berkaliber. Saya telah mendapat banyak ilmu dan keyakinan diri untuk beraksi di arena antarabangsa selepas mendapat pendedahan menunggang pelbagai jenis kuda yang mempunyai karakter dan ragam berbeza.

“Saya juga bersyukur mendapat tunjuk ajar dan panduan daripada jurulatih-jurulatih yang banyak membimbing serta menambahbaik teknik dan kebolehan kami.
“Untuk persiapan terakhir menjelang 3rd Asian Youth Games 2025, saya bersama ahli pasukan Malaysia sedang berlatih di Riyadh, Arab Saudi sebelum ke Bahrain,” ujarnya.
Seorang lagi wakil negara, Elly Poh, pula menekankan kepentingan memahami karakter kuda dan memastikan aspek keselamatan diutamakan.
“Untuk pertandingan antarabangsa, biasanya kami guna kuda pinjam (borrowed) atau sewa (lease). Jadi cabarannya adalah untuk memahami perangai kuda tersebut. Dan aspek paling penting adalah keselamatan, maka kita perlu tahu cara-cara mengendalikan kuda ini.
“Bagi persiapan terakhir saya akan mengikuti pasukan saya ke Arab Saudi pada awal bulan Oktober bagi persediaan terakhir ke Tamasya di Bahrain. Saya berharap kuda yang saya tunggang itu dapat memberi kesesuaian dan sedia memberi kerjasama yang terbaik supaya membantu pasukan kami.
“Pastinya saya teruja untuk menghadapi pertandingan ini kerana saya mahu ia menjadi pengalaman bermakna dan batu loncatan untuk menyertai lebih banyak pertandingan antarabangsa selepas ini,” katanya.
Jurulatih pasukan, Shaiful Azwan, melahirkan keyakinan terhadap tahap kesiapsiagaan keempat-empat atlet menjelang saingan sulung mereka.
“Mereka sudah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan. Saya yakin dengan kemampuan masing-masing.
“Latihan kali ini disusun dengan strategi khas yang menumpukan kepada penyesuaian pantas terhadap kuda baharu dan kawalan emosi ketika bertanding.
“Mereka juga berlatih tanpa henti di dalam dan luar negara untuk mendapat pengalaman yang lebih meluas. Dan sekarang ini kita berserah dan doa yang terbaik buat mereka,” ujarnya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Justin Yap, menjelaskan tugas utamanya adalah memastikan setiap aspek pengurusan pasukan berjalan lancar serta mematuhi piawaian antarabangsa.
“Saya bertanggungjawab untuk berurusan dengan Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) bagi memastikan semua proses berkaitan atlet dan pegawai berada dalam keadaan teratur.
“Selain itu, saya akan memastikan semua penunggang mematuhi peraturan serta memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan kebajikan kuda,” katanya.
Penyertaan empat remaja berbakat ini bukan sekadar membawa nama Malaysia, malah menjadi lambang kematangan sukan ekuestrian tanah air yang semakin berkembang, khususnya dalam kalangan atlet muda wanita. Mereka mencerminkan semangat generasi baharu yang berani mencabar diri di pentas antarabangsa sambil mengangkat martabat sukan berkuda negara.
Temasya 3rd Asian Youth Games (AYG) 2025 akan berlangsung di Manama, Bahrain dari 22 hingga 31 Oktober 2025. Acara dwitahunan anjuran Majlis Olimpik Asia (OCA) itu merupakan edisi ketiga selepas penganjuran di Singapura pada 2009 dan Nanjing, China pada 2013.
AYG 2025 dijangka menghimpunkan lebih 4,300 atlet muda dari 45 negara Asia, yang akan berentap dalam 21 jenis sukan, termasuk acara ekuestrian (Show Jumping dan Endurance) yang turut disertai pasukan Malaysia.








