Categories: familuv

4 Cara Penjagaan Bayi Baru Lahir Yang Perlu Anda Elakkan

Kehadiran cahaya mata merupakan titik kebahagiaan setiap pasangan. Kelahirannya pasti akan disambut dengan penuh keriangan dan kesyukuran.

Namun, di sebalik kegembiraan ini, persediaan daripada segi mental dan fizikal dalam kalangan ibu bapa haruslah mencukupi. Ibu mahupun bapa perlu tahu bagaimana untuk menguruskan bayi mereka daripada segi penjagaan, penyusuan dan sebagainya.

Selain mengetahui perkara yang betul untuk menjaga bayi, anda juga perlu tahu tentang perkara yang salah dan tidak patut dilakukan. Penulis senaraikan 4 cara penjagaan bayi baru lahir yang perlu anda elakkan.

1. Biarkan bayi tidur meniarap

Foto: SirapLimau

Kalau anda nak tahu, ramai bayi yang meninggal dunia semasa tidur kerana persekitaran tidur yang tidak selamat. Kematian adalah disebabkan terperangkap, lemas, tercekik dan ada juga yang maut kerana sindrom kematian bayi mendadak (SIDS). 

Akademi Pakar Kanak-Kanak Amerika Syarikat telah menyarankan supaya bayi yang tidur perlulah diletakkan pada kedudukan terlentang. Sekiranya anda ingin meniarapkan bayi, pastikan dia dalam keadaan berjaga.

Meniarapkan bayi dapat memberikan kekuatan pada bahagian otor leher dan mengelakkan kepala rata atau cukur bantal. Pastikan anda sentiasa bersama dengan bayi semasa dia meniarap.

2. Biarkan orang lain cium bayi anda

Foto: Smartmama

Pastikan anda melarang sesiapa pun yang ingin mencium bayi anda, terutamanya orang luar. Anda tidak tahu bakteria yang dibawa oleh mereka yang bayi akan dapat bila bayi bersentuhan dengan mereka.

Minggu pertama kehidupan bayi, semasa inilah bayi mudah dijangkiti pelbagai penyakit melalui bakteria pada sekeliling. Ini kerana, sistem imunisasi bayi masih belum kuat lagi untuk melindungi diri dari penyakit.

3. Tak tukar lampin bayi dalam jangka masa yang lama

Foto: Sinar Harian

Mungkin anda rasakan perkara ini remeh kan? Tapi, ia perlu diambil kira! Bayi yang masih kecil akan membuang air kecil dan besar ‘lebih’ daripada bayi berusia 6 bulan.

Sebaiknya, periksa lampin bayi anda selalu dan pastikan ianya tidak kotor dan berat. Bayi anda lebih selesa dan boleh mengelakkan daripada berlakunya ruam lampin.

4. Pakaikan pakaian tebal

Foto: SirapLimau

Jangan pakaikan baju bayi yang terlalu tebal. Ini kerana, ketebalan baju boleh menyebabkan mereka demam dan dehidrasi. Lagi-lagi dalam keadaan cuaca yang panas. Pasti bayi anda berasa tidak selesa!

Bayi yang memakai baju atau selimut terlalu tebal atau banyak lapisan lebih berisiko untuk mendapat panas berlebihan dan SIDS. Pastikan pakaian bayi anda nipis dan hanya satu lapisan sahaja. Percayalah, bayi anda akan lebih selesa.

Jadi, kepada bakal-bakal ibu di luar sana, jangan ambil mudah tentang perkara ini. Anda perlu peka setiap masa apabila ada anak kecil!

Sumber: TheAsianParent Malaysia

tex_admin