Categories: familuv

Adakah Campuran Bijirin Di Dalam Botol Susu Bayi Anda Selamat Untuknya?

Anda pernah dengar tak “nasihat” daripada orang lain tentang cara nak tidurkan anak dengan cepat? Katanya, bila beri susu sebelum tidur, campurkan sekali bijirin Nestum supaya bayi anda cepat kenyang dan dengan itu akan tidur lebih lena.

Bila fikir balik, betul juga. Untuk kita yang dewasa ini, bila dah kenyang, tidur memang syok, kan? Tapi bagi bayi kecil pula, adakah ia cukup selamat untuk mereka menelan makanan pejal sebegitu?

Sebuah kajian telah dibuat oleh JAMA Pediatrics tentang bagaimana pemberian makanan pejal kepada bayi berumur kurang daripada 6 bulan boleh mempengaruhi kelenaan tidur mereka.

Para penyelidik telah mengkaji 1,303 orang bayi berumur 3 bulan yang dibahagikan kepada dua. Satu kumpulan diberi susu yang dicampur dengan bijirin manakala satu lagi diberi susu badan.

Mereka mendapati, bayi yang diperkenalkan dengan makanan pejal akan tidur lebih lama dan kurang berjaga pada waktu malam.

Kesimpulannya, pemberian makanan pejal telah mengakibatkan peningkatan kecil tapi penting dalam ciri-ciri tidur bayi.

Foto: www.thebump.com

Hmm… walaupun itulah keputusannya, adakah teknik membancuh bijirin ke dalam susu boleh diguna pakai?

Ini dia kesan-kesan yang mungkin anak anda alami:

  • Risiko alahan
  • Masalah obesiti
  • Ketidakselesaan usus dan perut akibat sistem pencernaan tidak matang
  • Pengurangan susu ibu dan formula akibat terlalu kenyang
  • Mengurangkan pengeluaran susu ibu
  • Ganggu pencernaan susu ibu dan susu formula
  • Risiko tercekik dan mengakibatkan kematian

Bab-bab tercekik inilah yang paling menggerunkan dan paling boleh terjadi. Anda pasti ke yang di usia seawal 3 bulan, bayi anda dah pandai menghisap dan menelan makanan pejal?

Padahal usia yang sesuai untuk memperkenalkan makanan pejal hanyalah bermula daripada 4 ke 5 bulan, dan bukannya lebih awal daripada itu.

Itu pun untuk waktu makan, bukan untuk masa tidur, di mana mereka mungkin tak dapat mengawal apa yang masuk ke dalam badan mereka kerana mengantuk.

Lagipun, sistem pencernaan mereka belum lagi bersedia untuk bekerja secara efektif sampailah dia berumur 6 bulan.

Bahaya! Cara menidurkan bayi dengan memberikannya minuman berbijirin memang salah. Ramai pakar pediatrik pun tak bersetuju dengan teknik ini.

Secara kesimpulannya, anda tak patut dengar saja nasihat orang tanpa berfikir dulu tentang kebaikan dan keburukannya dari segi Sains.

Jangan ingat nak mudah saja, pentingkan juga keselamatan anak anda.

Bonus:

Ada cara lain untuk tidurkan bayi anda dengan cepat, iaitu:

  • Kekalkan rutin tidur yang sama setiap hari
  • Wujudkan persekitaran tidur yang selamat, selesa dan nyaman
  • Mainkan lagu berentak perlahan
  • Tepuk punggung bayi perlahan-lahan sambil mengusap rambut bayi

Sumber: theAsianparent

Ad Ops