Categories: familuv

Bayi pun tertarik pada yang cantik dan tampan, tapi kenapa ya?

“Amboi! kecil-kecil sudah pandai memilih, hendak didukung oleh perempuan cantik sahaja,” ujar kenalan penulis mengusik anak kepada teman kami yang sangat comel dan baru berusia tujuh bulan, tetapi sudah pandai memilih kakak-kakak yang cantik sahaja untuk mendukungnya.

Penulis sudah beberapa berhadapan dengan situasi ini, di mana si kecil merelakan dirinya didukung kakak cantik, akan tetapi jual mahal dan menunjukkan reaksi seolah-olah tidak mahu didukung oleh individu yang kurang cantik! Apakah mereka sudah faham untuk membezakan antara yang cantik dengan tidak?

Hal ini sangat menarik perhatian penulis, justeru sedikit rujukan dibuat untuk menulis artikel ini.

Menerusi satu kajian yang dijalankan di United Kingdom pada 2004, sepasukan doktor dan ahli psikologi mengkaji aspek psikologi dan tingkah laku seseorang bayi.

Dalam kajian itu, pengkaji mendapati bayi tidak perlu dididik untuk mengecam atau mengenali wajah individu kerana mereka mempunyai naluri semula jadi  dilahirkan dengan keupayaan berkenaan.

1. Individu cantik

Menurut salah seorang penyelidik daripada University of Exeter, Alan Slater, “Daya tarikan bukan terletak pada kaca mata mereka yang melihat. Ia adalah satu perkara yang semula jadi wujud dalam bayi yang baru lahir.”

Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Slater yang melibatkan bayi seawal usia sehari ini, membuktikan bahawa bayi tidak lahir ke dunia dengan sekadar ‘lembaran kosong.’ Tetapi mereka memasuki dunia dengan sistem perkembangan persepsi yang cukup seimbang.

“Hasil kajian mendapati bayi-bayi tersebut lebih banyak menghabiskan masa dengan melihat ciri wajah menarik,” katanya.

2. Simetri sempurna

Apakah itu simetri? Simetri ditakrifkan sebagai semua yang boleh dibahagikan kepada bahagian-bahagian, kedua-dua seimbang dan sempurna. Bercakap mengenai bentuk muka, raut wajah bujur sirihlah yang biasanya terlihat cantik.

Berbalik pada kajian Slater, beliau menjelaskan bayi suka melihat individu yang mempunyai raut wajah menarik mungkin kerana beranggapan bahawa individu cantik dan kacak ini mempunyai simetri wajah yang sempurna sebagai seorang manusia.

“Seorang bayi dilahirkan dengan persepsi wajah individu manusia yang sempurna. Disebabkan itu, mereka seperti sudah biasa melihat wajah individu cantik dan kacak. Situasi ini sekali gus membantu mereka untuk lebih mengenali wajah-wajah individu lain. Malahan, secara tidak langsung, individu dengan raut wajah menarik ini dapat membantu mereka mengenali dunia sosial,” jelas Slater.

3. Rasa percaya

Satu kajian lain yang diterbitkan dalam British Journal of Developmental Psychology menjelaskan bahawa bayi atau kanak-kanak lebih mudah mempercayai kata-kata yang diucapkan oleh individu yang mempunyai raut wajah yang menarik. Ini khususnya melibatkan wanita cantik. Beruntunglah wanita yang mempunyai raut wajah yang sedap mata memandang!

Kajian ini menyatakan sama ada bayi lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai tahap minat dan kepercayaan yang sama. Ini bermakna mereka lebih mempercayai wanita cantik atau lelaki yang kacak berbanding individu dengan raut wajah kurang menarik.

4.  Memandang kamu, bererti si kecil sedang memuji

Berbanggalah kalau kamu menjadi ‘rebutan’ si kecil, sama ada mereka rela didukung oleh anda atau suka merenung wajah anda. Kerana apa? ia merupakan pengiktirafan paling ikhlas yang menyatakan bahawa anda adalah individu cantik dan kacak!

 

Yanie Baharom