Categories: familuv

Cinta sahaja tidak cukup, anda perlu berusaha untuk pertahankan rumah tangga!

Perasaan mencintai dan ingin dicintai adalah anugerah daripada Ilahi kepada setiap insan.

Apabila anda melangsungkan perkahwinan dan membuat keputusan untuk terus hidup dengan seseorang yang dipilih sepanjang hayat, itu bermakna anda bersedia  untuk menghadapi segala cabaran dan dugaan yang akan dilalui bersamanya.

Dalam hal ini, adakah anda menyedari bahawa cinta sahaja tidak mencukupi untuk mempertahankan rumah tangga?

Selain daripada rasa kasih terhadap satu sama lain, anda harus sedar bahawa aspek lain turut menjadi penentu dalam menjana kebahagiaan rumah tangga.

Restu ibu bapa

Anda mungkin tidak akan bersetuju dengan perkara ini kerana beranggapan bahawa mereka bukanlah penentu kebahagiaan  terhadap rumah tangga anda.

Ini kerana perkahwinan juga melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak. Ia termasuklah ibu bapa dan saudara mara.

Dalam hal ini, jika perhubungan yang dibina tidak mempunyai asas dan sokongan yang kuat, maka banyak dugaan mendatang.

Foto: Her World

Komitmen terhadap perhubungan

Apabila anda membuat keputusan untuk hidup bersama dengan pasangan, komitmen terhadap perhubungan haruslah dititik beratkan.

Ini kerana, tanpa komitmen yang tinggi anda mungkin tidak akan teragak-agak untuk berlaku curang dengan pasangan, bahkan perhubungan yang dibina akan terlerai di tengah jalan akibat sikap yang tidak matang.

Mempercayai antara satu sama lain

Pasangan yang terlalu kerap bergaduh mengenai perkara kecil sebenarnya memperlihatkan ketidakmatangan dalam perhubungan dan seterusnya membawa kepada perbalahan yang besar.

Selain itu, sikap cemburu yang melampau akan menimbulkan masalah dalam perhubungan. Ini kerana, meskipun sikap cemburu menandakan perasaan sayang terhadap pasangan, tetapi jika ia berlebihan dan tidak berasas, ia akan menjejaskan perkahwinan kalian berdua!

Foto: Anything OYE

Hormat-menghormati

Meskipun mempunyai pendapat yang berbeza mengenai sesuatu perkara, anda haruslah menjadi lebih terbuka dalam menerima perkara tersebut.

Jika pasangan anda mempunyai pendapatan yang lebih tinggi, anda tidak perlu rasa tercabar!

Sebaliknya, anda haruslah menerima kenyataan tersebut dengan hati dan minda yang terbuka. Tahap pemikiran juga menjadi penentu kebahagiaan dalam perhubungan. Jika si dia tidak memahami topik perbualan yang anda ingin bincangkan, sudah tentu situasi ini  membosankan anda. Oleh itu, carilah pasangan yang sekufu dengan anda.

Tanggungjawab

Apabila anda menetapkan komitmen yang tinggi dalam perhubungan, rasa tanggungjawab akan wujud dengan sendirinya. Ini kerana, anda dan pasangan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan keluarga kekal bahagia.

Kebahagiaan akan lebih terjamin jika anda mengetahui tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri dari segi zahir dan batin.

Foto: Instagram Anzalna Nasir

Cinta akan menyatukan anda menerusi institusi perkahwinan, tetapi untuk mengekalkannya, anda harus memahami aspek penting yang disenaraikan dan perlu berusaha untuk mempertahankan rumah tangga anda.

 

tex_admin