Categories: familuv

Sakit kepala apabila anak meragam? Ketahui empat punca dan cara mengelakkannya daripada terjadi

Jujurlah dengan diri sendiri, ada kalanya tentu anda berasa sungguh penat dengan kerenah anak yang memeningkan kepala.

Lebih-lebih lagi ketika mereka meragam dan enggan bekerjasama, namun begitu terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti punca si kecil meragam supaya anda boleh menghindarinya daripada berterusan.

Kepenatan

Meskipun anak anda mungkin kelihatan ceria kerana berpeluang  bermain bersama-sama kanak-kanak lain, emosi mereka juga boleh berubah secara tiba-tiba kerana kepenatan.

Mereka mungkin akan merungut atau lebih teruk, menjerit di khalayak ramai.

Oleh itu, sebelum mereka melakukan perkara ini, anda harus memastikan mereka mendapat tidur yang secukupnya.

Jika mereka terlalu penat, anda boleh cuba menidurkan mereka selama beberapa jam supaya mereka mendapat tenaga secukupnya dan tidak meragam apabila beradi di luar.

Foto: Mamamia

Lapar

Orang dewasa juga  boleh mengamuk kerana lapar, apatah lagi kanak-kanak yang masih kecil.

Oleh itu, anda boleh membekalkan makanan yang mudah dimasak dan senang untuk dimakan ketika perjalanan.

Tarik perhatian ibu bapa

Keinginan untuk mendapatkan perhatian daripada ibu bapa adalah sifat setiap anak, namun kadangkala anda juga mempunyai perkara penting yang harus diselesaikan dan mungkin terlupa mengambil kira kehendak anak.

Dalam hal ini, anda harus menerangkan kepada mereka mengenai pekerjaan anda dan memastikan mereka memahaminya.

Foto: Parenting

Khalayak yang ramai

Berada dalam situasi apabila si kecil terpaksa berhadapan dengan ramai orang juga boleh menjadi punca mereka meragam.

Contohnya, ketika berada di majlis hari jadi yang membabitkan ramai jemputan.

Jika anak anda adalah jenis yang tidak betah berada dalam majlis sebegitu dengan lama, tinggalkan majlis sebelum keadaan menjadi kelam kabut!

Anda sebenarnya tidak perlu rasa bersalah apabila terasa penat. Sekali-sekala, rehatkanlah diri  untuk ‘mengecas’ kembali tenaga dan ‘bateri’ badan anda.

Hal ini kerana, anda juga manusia yang memerlukan rehat yang secukupnya.

Foto: Sinar Viral

tex_admin