Categories: FeaturedSihat

2 negeri dalam Zon Hijau kembali catat kes baharu positif COVID-19

Perak dan Melaka kembali mencatat kes baharu positif COVID-19 membabitkan penularan tempatan warganegara Malaysia selepas lebih seminggu bebas daripada jangkitan wabak berkenaan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Malaysia mencatat 30 kes baharu positif COVID-19 membabitkan tiga kes import dan 27 penularan tempatan dengan 17 kes bukan warganegara Malaysia serta 10 kes dalam kalangan warga tempatan.

Daripada 10 kes baharu warga tempatan itu, Perak mencatat satu kes baharu, Melaka (2 kes), Johor (1 kes), Selangor (1 kes), Putrajaya (2 kes), Negeri Sembilan (2 kes) dan Kuala Lumpur (1 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah 10 kes baharu positif COVID-19 dalam kalangan warganegara Malaysia itu masih dalam keadaan terkawal meskipun dikesan di beberapa negeri.

“Malaysia masih belum membincangkan strategi keluar, malah Kerajaan terus memperketat kawalan sempadan bagi mengelak jangkitan yang berpunca daripada kes import. Berbeza negara lain, Malaysia mengambil pendekatan untuk mewajibkan 14 hari kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan bagi semua rakyat yang pulang ke tanah air.

“Tindakan ini membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tumpuan pada penularan tempatan dengan mengawal jangkitan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara. Setakat ini jangkatan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara masih terkawal,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Jumlah 30 kes baharu positif COVID-19 itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,762 kes.

Sementara itu, KKM melaporkan terdapat 95 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 6,330 kes atau ­­­­­81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,317 kes, manakala kes yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) seramai sembilan kes positif COVID-19 membabitkan hanya dua kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. (Gambar NSYP/LUQMAN HAKIM ZUBIR)

Dr Noor Hisham berkata, kejayaan Malaysia mencatat tiada kes kematian sejak lebih seminggu lalu adalah hasil peningkatan keupayaan sektor kesihatan awam yang mampu membuat pengesanan kes baharu dengan cepat.

“Pengurangan kes kematian ini antaranya disebabkan keupayaan kesihatan awam untuk membuat pengesanan kes baharu COVID-19 dengan cepat termasuk melaksanakan aktiviti pencegahan dan pengesanan yang baik.

“Selain itu, tindakan Kerajaan untuk mewajibkan semua kes yang positif sama ada bergejala atau tidak, dimasukkan ke hospital untuk diasingkan, dipantau dan diberi rawatan bukan sahaja dapat membantu membendung penularan, tetapi juga memberi rawatan awal kepada pesakit,” katanya.

Fadzlena Jafar