Categories: FeaturedOh Lawa

Baju raya Radzuan Radziwill serlah ciri kewanitaan si pemakai

Dalam kesibukan menghasilkan alat pelindung diri (PPE) untuk disumbangkan kepada petugas kesihatan yang terkesan akibat COVID-19, sempat juga pereka terkemuka Malaysia, Datuk Radzuan Radziwill mempromosikan himpunan baju rayanya.

Himpunan Radzuan Radziwill 2020 X FashionValet yang dipasarkan menerusi platform e-dagang FashionValet sejak beberapa hari lalu itu menampilkan pelbagai rekaan baju kurung tradisional yang diberi nafas baharu.

Radzuan bijak mengadunkan elemen kontemporari dalam rekaannya yang masih mengekalkan ciri tradisional, tetapi pada masa sama tampak moden bersesuaian dengan konsep Lebaran kali ini.

Himpunan Aidilfitri Radzuan Radziwill 2020 menggunakan latar warna alam semula jadi bagi setiap busana seperti putih, biru lembut, jingga muda, hijau muda dan merah jambu.

Begitupun, pemilihan warna lembut dengan sedikit sentuhan warna garang pada motif setiap helaian busana menjadikan rekaan ini begitu menyerlah.

Pertembungan dua warna berbeza itu ditambah dengan potongan ringkas, tetapi bergaya secara tidak langsung menjadikan penampilan tampak anggun menawan.

Penggunaan motif bunga kecil dalam setiap Himpunan Aidilfitri Radzuan Radziwill 2020 menjadikan rekaan ini sesuai untuk wanita yang kecil, tinggi langsing mahupun berbadan besar.

Rekaan baharu Radzuan ini amat sesuai bagi wanita yang menggemari gaya minimalis. Bak kata pepatah bahasa Inggeris, Less Is More, pastinya kesederhanaan itu akan memberi lebih nilai pada penampilan keseluruhan.

Walaupun Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020, tidak salah untuk melakukan persediaan Aidilfitri atau sekurang-kurangnya memanjakan diri dengan membeli sehelai dua baju raya untuk tahun ini.

Harga bagi himpunan ini bermula dari RM330 sehingga RM480 bergantung pada rekaan dan fabrik digunakan.

Fadzlena Jafar