familuv By: Fadzlena Jafar May 2, 2019 @ 10:40am

Besarkan 6 anak dengan poket kosong, terpaksa tebalkan muka pinjam duit jiran

Kemiskinan tidak pernah dijadikan alasan bagi Hamidah Seman untuk memastikan keenam-enam anaknya dapat menerima pendidikan terbaik.

Meskipun hidup sentiasa dihimpit pelbagai dugaan, wanita tabah itu berjanji kepada dirinya sesusah manapun kehidupan mereka sekeluarga, keperluan persekolahan anak-anak tetap diutamakan.

raikan kasih ibu harian metro

Ahmad Shukri (empat kiri) bersama-sama Azlin (lima kiri) bergambar dengan penaja-penaja pada majlis Raikan Kasih Ibu Bersama Harian Metro di Hotel Four Points By Sheraton Puchong. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Bagi wanita yang berasal dari Kota Bharu  itu, hanya pendidikan mampu membawa mereka sekeluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Ketika anak-anak kecil dulu, kehidupan kami begitu susah, umpama kais pagi makan pagi. Tetapi saya tahu hanya dengan memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik akan mengubah masa depan kami.

“Saya sanggup bergolok bergadai untuk menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh kerana mereka cemerlang dalam pendidikan, biarlah mereka mempunyai kehidupan yang lebih baik kelak,” katanya menahan sebak sambil merenung jauh mengimbas kenangan lalu.

raikan kasih ibu harian metro

Penyanyi, Siti Nordiana membuat persembahan pada majlis Raikan Kasih Ibu Bersama Harian Metro di Hotel Four Points By Sheraton Puchong. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Beliau ditemui sejurus diumum pemenang Anugerah Ibu Mithali Harian Metro 2019 bersempena dengan Majlis Raikan Kasih Ibu di Hotel Four Points by Sheraton Puchong yang juga penaja lokasi program berkenaan.   

Hadiah disampaikan oleh Pengarang Eksekutif Pengeluaran Harian Metro, Shukri Sulaiman. Yang turut hadir ialah Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati),Datuk Azlin Ahmad Shaharbi; Pengurus Besar Pengiklanan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Jeannie Leong;  Pengarang Eksekutif Berita dan Digital Harian Metro, Noor Sham Salleh dan Pengarang Wanita, Norlaila Hamima Jamaluddin.

Terhutang budi dengan jiran

Hamidah akui, pernah hidup hanya dengan RM1 di dalam poket sehingga terpaksa menebalkan muka meminjam duit dan barangan makanan daripada jirannya.

Bukan sekali, tetapi boleh dikatakan beliau kerap meminjam daripada jirannya kerana gaji suami yang hanya bekerja di Felda Gua Musang tidak mampu menampung perbelanjaan harian mereka.

“Saya bersyukur mempunyai jiran yang amat memahami kehidupan kami. Saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan lagi ketika itu. Bukan sekadar perbelanjaan sekolah anak-anak, nak makan pun ada kalanya tidak lepas.

“Gaji suami kecil, dia terpaksa berulang alik ke Kota Bharu setiap minggu. Jika hendak berpindah ke Gua Musang, persekolahan anak-anak pula menjadi cabaran besar kerana hendak keluar daripada Felda itu, terpaksa melalui perjalanan yang jauh,” katanya.

Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakannya adalah apabila anak-anak sakit, tetapi beliau tidak mempunyai duit untuk menghantar si kecil ke klinik. Sudahlah tiada kenderaan, hendak membayar tambang bas juga beliau tidak mampu.

raikan kasih ibu harian metro

Tetamu yang hadir pada majlis Raikan Kasih Ibu Bersama Harian Metro di Hotel Four Points By Sheraton Puchong. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

“Saya buntu memikirkan keadaan kami, anak sakit, tetapi tidak mampu membawa mereka untuk mendapatkan rawatan. Apa yang saya boleh lakukan ketika itu hanya menangis mengenangkan nasib diri dan anak-anak.

“Tetapi jiran amat memahami dan banyak membantu kami. Saya terhutang budi dengan mereka yang kini saya anggap umpama keluarga sendiri,” katanya.

Hamidah beruntung kerana biarpun hidup dalam serba kesusahan, anak-anak dikurniakan kejayaan dalam pelajaran.

Tiga anaknya bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), iaitu Hasfalina Che Man di MRSM Taiping, Mohd Hairy (MRSM Beseri) dan Mohd Hasrizam (MRSM Balik Pulau), manakala Mohd Hasnan di Sekolah Menengah Sains Gong Badak.

Dua lagi anaknya, Siti Fatihah kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun dan Amir Hafiz di UiTM Shah Alam.

Hikmah di sebalik kesusahan

raikan kasih ibu harian metro

Pemenang Anugerah Ibu Mithali Harian Metro, Hamidah Seman pada majlis Raikan Kasih Ibu Bersama Harian Metro di Hotel Four Point By Puchong. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Kini, Hamidah tidak perlu lagi memikirkan bagaimana hendak mencari rezeki bagi menampung kehidupan kerana empat anaknya sudah bergelar pensyarah dan jurutera.

Beliau dan suami juga tinggal bersama-sama Hasfalina di Selangor, dan bersyukur kerana keempat-empat anaknya yang sudah bekerja turut membantu dua lagi adik mereka melanjutkan pengajian.

Sementara itu, Hasfalina yang menemani ibunya ke majlis berkenaan berkata, pengorbanan ibunya dalam membesarkan mereka adik-beradik tidak ternilai dengan wang.

“Saya masih ingat ketika kami kecil dulu, hidup begitu susah. Saya tidak boleh melupakan pengorbanan ibu dalam membesarkan kami terutama apabila mengenangkan ibu sering berjaga malam untuk membuat kuih bagi dijual keesokan harinya.

“Walaupun ibu menjual kuih, masih tidak mencukupi kerana kami berempat bersekolah di sekolah berasrama penuh dan memerlukan perbelanjaan terutama untuk membeli buku rujukan,” katanya yang menangis ketika menceritakan pengorbanan ibunya.

raikan kasih ibu harian metro

Aktiviti solekan bersama ibu dan anak pada majlis Raikan Kasih Ibu Bersama Harian Metro di Hotel Four Point By Puchong. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Beliau dan ibunya bakal menunaikan umrah, iaitu hadiah utama tajaan Persada Global selaku pemenang Anugerah Ibu Mithali Harian Metro 2019. Selain itu, Hamidah menerima sebentuk cincin emas daripada Khalifah Jewels, plak sumbangan Nusantara Touch dan bunga.

Tempat kedua dimenangi Fatimah Masrun yang dicalonkan oleh anaknya, Mohd Fahmi Badiron, manakala tempat ketiga diberikan kepada Noraini Abu Kassim.

 

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Events Thu, 1 Dec 2022

Teruk Dikecam Netizen Gara-Gara Foto Kahwin Dengan MK, Nabila Razali Beri Penjelasan – “Itu Bukan Gimik, Tapi…”

Penyanyi Nabila Razali mendapat tempias kecaman netizen selepas berkongsi foto majlis perkahwinan bersama penyanyi rap, MK K-Clique. Jelas Nabila, dia tidak menganggap perkara itu sebagai satu gimik murahan tetapi menegaskan itu hanyalah sekadar teaser sahaja […]

Featured Fri, 3 Sep 2021

Tempoh Pembaharuan Lesen LKM, LMM Dilanjutkan Sehingga…

Tempoh pembaharuan lesen dilanjutkan gaisss!

Featured Sat, 5 Mar 2022

Pesakit Berisiko Tinggi Covid-19 Bakal Menerima Ubat Antiviral Pfizer 2 Minggu Lagi

Bekalan ubat antiviral keluaran Pfizer menjadi ‘senjata’ membanteras pandemik Covid-19

Featured Mon, 26 Sep 2022

[VIDEO] Penampilan Tindik Hidung Shila Amzah Dikritik, Peminat Bidas Komen Netizen Mulut Puaka – “Tak Salah Pun, Janji Tak…”

Alamak, Shila betul ke tindik hidung tu? Fesyen kot kan maybe pakai yang jenis pelekat tindik hidung hihihiii

Featured Tue, 12 May 2020
Featured Wed, 25 Mar 2020

Seramai 73 anggota kesihatan KKM positif COVID-19

Bantu mereka dengan duduk di rumah