Categories: familuvFeatured

Didik anak mengenai COVID-19 dan mengapa perlu patuh PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini pasti menimbulkan persoalan bagi si kecil apabila tidak dibenarkan bermain di luar rumah.

Ibu bapa tentunya mempunyai cara tersendiri menangani keletah anak yang pasti menunjukkan perubahan sikap atau tingkah laku kerana tidak dapat keluar bermain dengan rakan mereka.

Terangkan kepada anak mengenai wabak itu tanpa menakutkan mereka, gunakan bahasa mudah agar si kecil faham mengapa mereka perlu berada atau bermain di dalam rumah sahaja.

Paling penting, libatkan mereka dalam semua aktiviti berkaitan COVID-19. Beberapa perkongsian di media sosial turut menampilkan gelagat kanak-kanak yang menyokong usaha Kerajaan dalam membendung penularan COVID-19.

Anaknda Sultan Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzzafar Shah Sultan  Nazrin Muizzuddin Shah, tidak ketinggalan menzahirkan ucapan terima kasih baginda kepada petugas pertahanan. Foto kredit: Instagram @malaysia.royalfamily

Misalnya, anakanda Sultak Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzzafar Shah Nazrin Muizzuddin Shah  dan adindanya, Raja Nazira Safiya, dalam satu perkongsian menerus Instagram @malaysia.royalfamily turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada petugas pertahanan.

Raja Nazira Safiya Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga adinda kepada Raja Datuk Seri Azlan Muzzafar Shah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak ketinggalan menzahirkan ucapan terima kasih baginda kepada petugas pertahanan menerusi pelbagai bahasa yang ditulis pada kertas. Foto kredit: Instagram @malaysia.royalfamily

Naluri kanak-kanak sememangnya telus dan ceria, justeru baginda berdua menulis di kertas dan dipaparkan dalam bentuk mesej bergambar.

Mungkin ibu bapa juga boleh menggunakan kaedah berkenaan bagi merangsang minda anak agar mereka tidak bosan ketika berada di rumah.

Pempengaruh yang juga ibu kepada kembar Anggun Darleena dan Anggun Darleesa, Diana Nasir, menyediakan aktiviti mewarna bagi anaknya itu yang sememangnya aktif dan sihat.

Tidak ketinggalan Diana menerangkan kepada kedua-duanya mengapa mereka tidak boleh keluar bermain di luar kediaman atau pergi belajar tarian balet bersama-sama rakan kerana COVID-19 memerlukan mereka berada di dalam rumah.

Mungkin ini juga masa terbaik untuk ibu bapa mendidik anak dengan mengajak anak memasak di dapur bersama-sama kerana pada masa sama, si manja dapat mempelajari banyak perkara mengenai peralatan di dapur.

Paling penting, dengan memberi kefahaman mengenai sesuatu perkara seperti wabak COVID-19 ini, si kecil tidak mudah gelisah dan mampu memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti berfaedah.

Shaidah Shafie