Categories: FeaturedSihat

Fobia terhadap rawatan pergigian? Ketahui petanda dan cara atasinya

Pernahkah anda tidak dapat tidur nyenyak kerana terlalu memikirkan temu janji dengan doktor gigi pada keesokan harinya? Jika ya, anda mungkin mengalami tanda-tanda dental phobia atau istilah lainnya takut kepada rawatan pergigian.

Tidak dinafikan fobia terhadap rawatan pergigian merupakan fenomena yang tidak asing lagi di dalam dunia pergigian, namun segelintir daripada kita mungkin tidak sedar yang sebenarnya kita mempunyai masalah tersebut.

Menurut Pengamal Utama dan Pengarah Qistina Dental & Medical Services Sdn Bhd, Dr  Hazlina Ishak, sebanyak 10 hingga 15 peratus iaitu kira-kira 30 ke 40 juta penduduk di Amerika Syarikat mengalami masalah dental phobia. Perkara ini berlaku disebabkan rasa takut pada kesakitan ketika melakukan rawatan.

Kredit gambar: www.nsbendo.com

“Selain rasa takut akan kesakitan sewaktu menjalani rawatan pergigian, antara penyebab utama dental phobia ialah apabila seseorang itu pernah mengalami pengalaman negatif berkaitan gigi. Ada juga yang mungkin rasa takut setelah mendengar pengalaman menakutkan orang lain.

“Bukan itu sahaja, tiada kawalan ke atas diri di mana seseorang itu berasa risau dengan keadaan tidak dapat melihat apa yang berlaku atau apa yang dilakukan doktor kepada diri mereka menyebabkan mereka turut mengalami dental phobia.

“Rasa malu dan segan apabila orang lain melihat mulut juga merupakan faktor yang menjurus kepada permasalahan ini,” kongsi Dr Hazlina ketika ditemui Hijab & Heels baru-baru ini.

Dr Hazlina yang juga merupakan doktor gigi di Klinik Pergigian Hazlina, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi turut berkongsi antara petanda-petanda seseorang itu mengalami dental phobia.

“Seseorang itu mungkin tidak dapat tidur malam kerana tahu dia akan ke klinik gigi keesokannya. Hal ini kerana mereka terlalu memikirkan tentang temu janji dengan doktor gigi sehingga boleh menyebabkan rasa badan kurang sihat, kecut perut dan sebagainya.

“Mereka juga boleh rasa berdebar apabila berada di dalam ruang menunggu di klinik dan mungkin menangis kerana terlalu takut untuk berjumpa doktor gigi. Selain itu, ada juga pesakit yang mungkin akan panik dan sesak nafas semasa melakukan rawatan,” tutur Dr Hazlina.

Tambah Dr Hazlina lagi, jika masalah dental phobia tidak diatasi, ia mampu memberi implikasi kepada pesakit seperti kesihatan gigi dan mulut terjejas serta memberi kesan psikologi seperti rasa rendah diri serta kurang keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang lain.

Dr Hazlina memiliki pengalaman selama 20 tahun sebagai doktor gigi. Kredit gambar: Instagram Klinik Pergigian Hazlina.

Dr Hazlina turut berkongsi beberapa panduan mengelakkan rasa takut terhadap insitusi pergigian dalam kalangan kanak-kanak, malah individu dewasa sendiri boleh mengatasi rasa phobia ini  dengan memahamkan diri sejak awal mengenai betapa beruntungnya jika gigi cantik dan tiada sebarang kerosakan yang dialami pada gigi.

“Beri pendedahan awal kepada anak-anak sejak usia mereka masih kecil dengan membawa mereka ke klinik pergigian sama ada untuk menemani anda atau melakukan pemeriksaan gigi. Dalam situasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk tidak menakutkan anak-anak dengan mengatakan cabut gigi dan suntikan itu menyakitkan.

“Cari doktor dan klinik gigi yang bersesuaian. Lakukan sedikit kajian serta bertanya kepada keluarga, saudara atau rakan-rakan untuk meminta pandangan mereka. Sebaik-baiknya, lakukan temujanji pada waktu pagi kerana kebiasaannya pada waktu itu kita lebih bersedia dan tidak sempat fikir yang bukan-bukan,” katanya.

Tambahnya lagi, apabila mahu ke klinik gigi, ajak saudara mara mahupun rakan yang dipercayai atau berasa selesa apabila mereka ada bersama untuk memberi sokongan moral ketika anda menjalani rawatan.

“Bawa orang yang kita percayai seperti ibu, suami atau individu yang rapat untuk memberi sokongan agar kita selesa dan tenang ketika berada di klinik gigi. Bagi kanak-kanak pula, bawalah barang mainan kesukaan kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu memberi ketenangan ketika melakukan rawatan.

“Anda boleh sahaja maklumkan kepada doktor mengenai kegusaran yang dialami agar doktor dapat melakukan tahap rawatan mengikut kemampuan kita. Ketika sedang menjalani rawatan, jangan rasa tertekan untuk memberi isyarat tertentu kepada doktor seperti mengangkat tangan jika mahu berhenti seketika.

“Sekiranya takut pada suntikan, boleh meminta kepada doktor gigi untuk meletakkan gel strawberi untuk mengurangkan rasa sakit. Ada banyak perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan rasa negatif dan doktor gigi pun sebenarnya sangat mengalu-alukan sebarang perbincangan sebelum rawatan berlangsung.

“Jangan kekang diri dengan rasa takut untuk membuat rawatan. Bunyi alat-alat ketika melakukan rawatan membuatkan seseorang itu berasa takut dan ngilu, jadi bawa headphone untuk mendengar muzik kerana ia mungkin dapat membantu anda daripada berasa takut.,” katanya.

Kredit gambar: Sydney Psychologists.

Walau apapun, jangan takut untuk melakukan rawatan pergigian bagi mengelakkan kesihatan gigi terjejas. Dunia pergigian kini sudah mempunyai teknologi serta teknik yang semakin maju dan dapat mengurangkan kesakitan yang dialami.

Ad Ops