Categories: Eat TravelFeatured

Hidangan menambat hati ketika berbuka, Kek Keju Oreo Bright Cow lazat tak terkata!

Dengan melihat gambar sahaja, sudah dapat bayangkan betapa enaknya kek keju Oreo Bright Cow (Bright Cow Oreo cheesecake).

Pasti ramai tertanya-tanya kenapa namanya Bright Cow, adakah kerana warna kek itu putih dan hitam, seperti tompokan kulit lembu Australia?

Jawapannya adalah, untuk mencipta rasa yang mewah dan lemak berkrim, ia menggunakan susu pastur jenama Bright Cow, sebagai bahan rahsia yang kini bukan rahsia lagi!

Kek keju Orea Bright Cow ini turut diperhebat dengan hiasan jem dan taburan buah ceri.

Foto: Malaysia Kita

Tanpa melengahkan masa anda, Hijab & Heels kongsikan resipi yang mudah disediakan ini.

Bright Cow Oreo cheesecake

Bahan-Bahan lapisan kerak :

– 25 keping biskut Oreo (hancurkan menggunakan mesin pengisar)

– Segenggam emping jagung jenama Nestle Fitness (inilah bahan rahsia yang menambah kelazatan kek ini).

Foto: Konzapata

– 3 sudu besar mentega yang telah dicairkan

Foto: Malaysia Kita

Bahan-bahan krim keju:

– 300 gram krim keju

– Sekotak kecil krim putar

– 1/2 cawan susu pastur Bright Cow

– 1/2 cawan gula kastor

– 1 sudu teh esen vanila

– Krim putih Oreo (yang dipisahkan daripada biskut tadi)

Cara membuatnya:

1. Lapisan kerak yang dihancurkan dicampur dengan mentega yang sudah dicairkan. Selepas itu mampatkan dalam loyang dan simpan dalam peti ais.

2. Masak susu Bright Cow atas api sederhana dan apabila sudah mendidih tutup api dan sejukkan pada suhu bilik sebelum dimasukkan ke dalam peti ais.

3. Pukul krim keju dan krim putar. Masukkan gula sedikit demi sedikit sebelum menuangkan susu yang sudah disejukkan tadi, diikuti esen vanila serta krim putih oreo. Pukul sehingga adunan menjadi berkrim dan apabila diangkat kemudian diterbalikkan, adunan tidak tumpah.

4. Keluarkan loyang yang telah dimampatkan dengan lapisan kerak, tuang adunan krim keju tadi dan ratakan.

5. Akhir sekali hiaskan jem dan buah ceri. Sejukkan beberapa jam sehingga kek menjadi teguh, lalu bolehlah menikmatinya masa berbuka nanti!

Foto: Malaysia Kita

Nota: Anda juga boleh menggunakan jem dan buah-buahan yang lain seperti mangga, strawberi, berry hitam dan beri biru.

Mudah bukan? selamat mencuba!

 

Resipi kredit: Malaysia Kita

Yanie Baharom