Categories: familuvFeatured

Hilang sabar melayan kerenah anak sepanjang PKP? Jangan dipukul tapi guna taktik ini

Diam tak diam, minggu kelima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir sampai ke penghujung. Bagaimana agak kehidupan kalian yang mungkin sebelum ini sibuk bekerja sampai tidak sempat melayan anak, tiba-tiba terperuk dalam rumah, okay ke tidak?

Manalah tahu, ada yang berubah menjadi singa dek pening melayan kerenah anak-anak. Maklumlah budak-budak kalau melekat dengan ibu bapa, perangai mereka mungkin kuat merengek dan manja semacam.

Ibu sudahlah penat mengemas rumah, membasuh, memasak dan bekerja dari rumah lagi, kadang-kadang tahap kesabaran memang boleh meletus!

Foto: OhBulan

Walau apapun, ibu bapa cubalah bersabar kalau anak kecil anda terutamanya berusia bawah tiga tahun buat perangai atau meragam.

Biarpun menanah telinga dan sakit mata dengan perangai mereka yang kuat menangis, melembik atau mengeraskan badan, mengamuk kerana mahukan sesuatu, cuba tahan perasaan daripada memukul mereka.

Sebaliknya guna komunikasi yang baik, berhemah dan jelas kerana ketika anak anda mengamuk, dia sedang berperang dengan emosinya, ibarat lemas dalam perasaan. Memukul anak itu tidak akan membawa apa-apa kesan baik, malah kesannya mungkin menjadikan si kecil seorang yang kuat berdendam.

Foto: Kompas

Jika anak anda buat perangai (temper tantrum), bawa anak itu ke dalam bilik misalnya, untuk tenangkan dia. Saat dia dipujuk ibunya tanpa gangguan membuatkan si kecil berasa lebih tenang.

Budak-budak ini bukannya apa, kadang-kadang mereka mengamuk sebenarnya kerana dahagakan perhatian!

Lebih afdal, basuh muka dan kepalanyanya perlahan-lahan serta bacakan doa menenangkannya. Surah al-Fatihah sudah cukup, baca tiga kali dan tiupkan pada ubun-ubunnya.

Foto: FMT

Pesan Prof Dr Rozieta Shaary atau lebih dikenali dengan gelaran Ibu Rose, jangan sekali-kali mendengar saranan orang untuk memukul anak, nanti bertambah naik kepala dan degil jadinya.

“Sebagai orang dewasa, kita diberi Allah SWT kekuatan dan kuasa ke atas anak kecil. Ingatlah dengan kuasa dan kekuatan datangnya tanggungjawab. Kita bertanggungjawab memberikan anak itu rasa selamat di dunia ini dan dikasihi bukan dibenci.

“Anak-anak kecil ini memerlukan timbang rasa dan kasih-sayang serta contoh yang baik daripada kita orang dewasa dan bukan punca menjadikan mereka itu manusia yang membenci anak-anak kecil bila mereka dewasa nanti,” katanya.

Pesanan Hijab & Heels, mohon bersabar ya ibu bapa semua sepanjang PKP ni, sebab kita ketika kecil-kecil pun nakal juga. Kalau dulu kita pernah dipukul orang tua sebab degil, pemahaman itu boleh diubah dengan menggunakan skil komunikasi yang tegas tapi penuh kasih sayang supaya anak-anak hadam!

Yanie Baharom