Categories: FeaturedGaya Hidup

Ikuti panduan ini agar bilik tidur anda kelihatan luas!

Oleh Ainur Nadhirah Bahrom Shah

Memiliki bilik tidur yang selesa dan luas sudah semestinya menjadi idaman ramai. Alangkah indahnya mempunyai bilik tidur yang mempunyai ruang besar sekali gus membolehkan anda meletakkan set sofa mahupun meja kerja di dalam bilik berkenaan.

Bayangkan anda boleh meletakkan perabot tanpa perlu risau ruang menjadi sempit. Malangnya, tidak semua orang memiliki ruang bilik tidur yang luas. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di perumahan jenis bertingkat seperti flat atau pangsapuri. 

Hiasan dekorasi bilik menjadi terhad kerana anda buntu bagaimana  hendak menjadikan bilik tidur yang sempit tampak luas dan menarik. Jangan risau! Dengan panduan mudah ini bilik tidur anda yang kecil pastinya  akan berubah tampak seperti lebih luas.

1. Pilih warna yang lembut atau pastel

Foto: halzamanuar.com

Pemilihan warna memberi impak keluasan pada ruang bilik anda. Malah ia juga dapat memberi mood yang tenang kepada jiwa.

Gunakan warna yang lembut dan terang seperti warna putih, biru awan dan kelabu lembut. Dengan pemilihan warna ini, bilik anda akan terasa luas dan tenang kerana ia memberi impak positif.

Elakkan daripada menggunakan warna gelap kerana ia menjadikan ruang bilik anda kelihatan suram akibat daripada penyerapan cahaya yang masuk ke dalam bilik.

2. Pemilihan perabot

Foto: ibsfocus.my

Dari segi pemilihan perabot, anda disarankan untuk mencari perabot yang mempunyai pelbagai fungsi. Perabot jenis ini akan menjimatkan ruang dan wang anda kerana perabot yang banyak akan memenuhi ruang bilik anda.

Selain itu, anda boleh juga menambah rak dinding untuk menyusun gambar, pokok kecil, buku-buku, lilin bagi memberi identiti tersendiri pada ruangan bilik. 

3. Penggunaan cermin

Foto: propertybah.my

Cermin merupakan satu medium yang memberikan ilusi keluasan pada ruang. Salah satu cara untuk menampakkan bilik tidur anda kelihatan luas dengan meletakkan cermin di dalamnya.

Cermin yang bersaiz besar mampu memberikan kesan luas terhadap bilik anda. Dengan adanya cermin, ia dapat memantulkan cahaya semula jadi dan tiruan supaya bilik anda kelihatan terang pada waktu siang mahupun malam. 

4. Pencahayaan

Foto: remodelista

Pencahayaan semula jadi dapat membuatkan bilik anda kelihatan besar. Jika bilik anda tidak mempunyai pencahayaan semula jadi yang banyak, anda boleh menambah beberapa kesan kreatif dengan penggunaan lampu.

Terdapat pelbagai jenis lampu yang boleh anda pilih seperti lampu tidur, lampu meja dan lampu dinding. Kehadiran cahaya lampu berupaya menimbulkan mood romatik dan lebih tenang untuk bilik tidur anda.

Semoga panduan ini bermanfaat!

tex_admin