Categories: FeaturedOh Lawa

Impikan rambut sempurna? Ikuti 4 panduan mudah ini

Rambut beralun, lebat dan berkilat sering menjadi dambaan wanita baik yang berhijab atau pun tidak.

Tiada masalah seperti hujung rambut bercabang dan rambut gugur juga bonus yang diinginkan oleh wanita kerana keadaan itu membuktikan rambut sihat dan kuat.

Bagaimanapun, tidak semua wanita beruntung memiliki rambut dengan ciri-ciri yang disebutkan di atas.

Berhijab juga bukan alasan untuk dijadikan sebagai penyebab rambut mengalami masalah seperti kerap gugur, putus, bercabang dan cepat beruban.

Hijab & Heels kongsikan empat panduan ringkas dan mudah bagaimana menguruskan rambut agar kekal sihat dan cantik.

Basuh rambut menggunakan syampu yang sesuai – gambar hiasan. Foto: NSTP.

1. Basuh rambut setiap hari dengan syampu, tetapi pastikan syampu yang digunakan sesuai dengan rambut anda. Ini kerana rambut juga seperti badan, perlu dibersihkan setiap hari. Apabila bersih, rambut boleh tumbuh dengan lebat dan sempurna.

Apabila seharian melakukan aktiviti, folikel rambut akan mengeluarkan sebum atau rembesan minyak. Jika tidak dibersihkan, ia akan menyebabkan folikel rambut tersumbat oleh sebum yang kemudian hari menimbulkan masalah lain seperti kegatalan mahupun rengsa pada kulit kepala.

Air teh boleh digunakan untuk merawat rambut – gambar hiasan. Foto: NSTP.

2. Uncang teh yang sudah digunakan boleh dijadikan bahan membersihkan rambut. Rendam di dalam air panas, biarkan ia sejuk dan jadikan air teh itu sebagai bilasan terakhir pada rambut.

Rasa teh yang kelat dikatakan mampu menguatkan gentian rambut selain mengelakkan kelemumur dan gatal pada kulit kepala. Teh juga jika kerap digunakan akan menjadikan rambut berwarna perang seperti semula jadi.

Elak gunakan pengering rambut untuk menghindari rambut daripada rosak – gambar hiasan. Foto: NSTP.

3. Elak guna pengering rambut elektrik kerana ia akan menyebabkan akar rambut rosak. Keringkan rambut secara semula jadi atau duduk di hadapan kipas.

4. Apabila tidur, elak sikat rambut ke bahagian atas kerana fitrah rambut akan memanjang dan mengurai ke bawah. Apabila ditarik ke atas, ia berlawanan dengan sifat rambut dan dikhuatiri mematahkan gentian rambut sekali gus menjadikan rambut tidak sihat.

Semoga empat panduan mudah ini memberi manfaat kepada tambut anda

Shaidah Shafie