Categories: Eat TravelFeatured

Inginkan hidangan ayam unik? Cuba resipi ayam nanas ‘sweet sour’ ini

Sebelum ini, anda pasti pernah dengar atau mencuba hidangan ayam masak lemon. Apabila dimakan dengan nasi putih, memang terangkat rasanya!

Selain lemon, ada juga hidangan ayam masak buah oren. Ia telah dipopularkan oleh restoran masakan Cina popular, Panda Express.

Apa-apa pun, rasa masam daripada lemon atau oren ini memang kena dengan perisa ayam. Tetapi teringin tak untuk tahu apa rasanya jika ayam ini dimasak sebagai hidangan sweet sour?

Jika mahu, anda bolehlah cuba resipi di bawah ini yang menerokai flavour ini dengan menggunakan nanas. Maklumlah, buah ini ada yang masam, ada yang manis. Sesuailah!

Jom tengok bagaimana ia dimasak di dalam video oleh Tasty di bawah ini.

Bahan

  • 680 gram dada ayam, dipotong kecil
  • 1 sudu besar kicap masin
  • 1 cawan tepung jagung, dibahagikan kepada 125 gram (sediakan satu sudu besar ekstra)
  • 1 biji telur gred A
  • 1 biji nanas
  • 2 sudu besar minyak sayuran, (sediakan lebih untuk goreng)
  • ½ biji lada benggala merah, dipotong
  • ½ biji lada benggala hijau, dipotong
  • ½ cawan bawang putih (white onion), dipotong
  • 2 sudu kecil bawang putih (garlic), dicincang
  • 1 sudu kecil halia, dicincang
  • ¼ cawan cuka epal (60ml)
  • ¼ cawan gula (50 gram)
  • 3 sudu besar sos tomato
  • Nasi putih
  • Bijan, untuk hiasan
  • Daun bawang, untuk hiasan

Cara penyediaan

1. Di dalam mangkuk besar, gabungkan ayam dengan kicap, telur dan 1 sudu besar tepung jagung. Tutup dan perapkan di dalam peti sejuk selama 20 minit.

2. Potong isi nanas menjadi kiub.

3. Di dalam mangkuk lain, letakkan tepung jagung yang selebihnya dan masukkan ayam perap tadi. Gaul hingga setiap kepingan ayam betul-betul disaluti tepung. Goncang sedikit kepingan itu untuk meleraikan serbuk tepung lebihan.

4. Isikan kuali dengan minyak masak bersuhu 180°C.

5. Goreng kepingan ayam sehingga bahagian luarnya perang keemasan dan isi masak sempurna. Letakkan ayam ke dalam  pinggan, alas kertas tisu supaya lebihan minyak dapat diserap.

6. Untuk membuat sos, panaskan 2 sudu minyak di dalam pan bersaiz sederhana, dengan api sederhana.

7. Tumis lada benggala dan white onion selama 2 ke 3 minit, hingga lembut.

8. Masukkan halia dan bawang putih, masak hingga wangi.

9. Masukkan cuka, gula dan sos tomato dan kacau hingga mendidih.

10. Masukkan kiub nanas dan biarkan masak.

11. Masukkan ayam dan gaul hingga sos menyalutinya. Dah siap!

12. Hidang dengan nasi putih dan hiaskan dengan daun bawang dan bijan.

Selamat mencuba!

Ad Ops