Categories: FeaturedGaya Hidup

JAKIM nafi keluar Garis Panduan Sambutan Aidilfitri ketika PKP

Sejak semalam tular garis panduan Sambutan Aidilfitri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kononnya disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Garis panduan yang disediakan dalam bentuk infografik itu menyatakan beberapa prosedur bagi meraikan Aidilfitri, antaranya sembahyang sunat Aidilfitri dan takbir Hari Raya hanya dilakukan di rumah, selain tidak dibenarkan mengadakan rumah terbuka serta amalan menziarahi sanak-saudara digantikan dengan sidang video.

Bagaimanapun, JAKIM menerusi laman Instagramnya menafikan mengeluarkan garis panduan berkenaan, malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut berkongsi hantaran yang sama dalam laman Instagramnya.

“JAKIM menafikan bahawa ada mengedarkan sebarang dokumen mengenai Panduan Sambutan Aidilfitri Dalam Tempoh PKP.

“Sebarang makluman yang tidak dikeluarkan melalui saluran rasmi JAKIM adalah dianggap tidak sah,” kata kenyataan media berkenaan.

Sehubungan itu orang ramai diminta untuk menghentikan perkongsian garis panduan palsu itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Hari ini, fasa empat PKP bermula dengan kelonggaran untuk beberapa sektor beroperasi terutama sektor pembinaan sebagai antara langkah diambil oleh Kerajaan bagi membantu pemulihan ekonomi negara.

Sama ada PKP akan dilanjutkan sehingga fasa lima atau sebaliknya, bergantung pada kepatuhan rakyat di negara ini untuk kekal di rumah sepanjang PKP bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan sepenuhnya.

Sebaik-baiknya tunggu sahaja pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu depan dan jika PKP dilanjutkan sehingga Aidilfitri seperti yang diumumkan kebanyakan negara lain, kita sebagai rakyat perlu reda dengan norma baharu ini.

Fadzlena Jafar