Categories: FeaturedSihat

Kaji Selidik Solidariti fokus empat regimen rawatan COVID-19

Sembilan hospital Kementerian Kesihatan (KKM) yang sudah dikenal pasti akan memulakan Kaji Selidik Solidariti bagi mengkaji keberkesanan empat regimen rawatan dalam prosedur merawat pesakit COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kaji Selidik Solidariti yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu diharap dapat memberi manfaat dalam menentukan rawatan terbaik bagi membantu pesakit yang positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya. (Gambar NSTP/MOHD FADLI HAMZAH)

“Kaji selidik yang diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha pengumpulan data dan perbandingan keselamatan serta keberkesanan empat regimen rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

“Sehubungan itu, KKM bakal memulakan kajian klinikal ini dalam masa terdekat membabitkan sembilan hospital KKM yang kini bersedia untuk memulakan pengambilan peserta kajian dalam kalangan pesakit COVID-19 khususnya yang memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di Putrajaya hari ini.

Hospital yang terbabit ialah Hospital Tuanku Fauziah (Perlis), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka; Hospital Tengku Ampuan Afzan (Pahang), Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth (Sabah).

Kerjasama antara KKM dengan WHO bagi melakasanakan Kaji Selidik Solidariti diumumkan pada 6 April 2020 turut membabitkan beberapa negara dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat dalam merawat COVID-19.

Jabatan Kesihatan Sabah melakukan ujian terhadap sampel COVIS-19 di makmal Kota Knabalu. (Gambar hiasan/NSTP)

Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (Medical Research and Ethics Committee, MREC) bekerjasama rapat dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM yang bertindak sebagai badan regulatori yang bertanggungjawab meluluskan penggunaan ubat terbabit dalam kajian klinikal itu.

Dr Noor Hisham berkata, penilaian akan memberi tumpuan pada tiga aspek utama merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat terbabit berdasarkan data-data yang dikemukakan.

“Menyedari kepentingan kajian klinikal ini dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, MREC dan NPRA berjaya meluluskan protokol penyelidikan dan lesen import kajian klinikal (Clinical Trial Import Licence) bagi ubat Remdesivir dalam tempoh yang singkat, iaitu empat hari berkerja, namun pada masa sama dapat mengekalkan kualiti penilaian berdasarkan prosedur dan keperluan regulatori antarabangsa.

“Kelulusan segera ini dicapai melalui komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa MREC, lapan penilai NPRA dan pengurusan atasan bagi memastikan penilaian ubat ini adalah berkualiti serta dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya.

Gambar utama: Gambar hiasan ihsan pembaca

Fadzlena Jafar