Categories: FeaturedGaya Hidup

Kerajaan laksana PKPB mulai 4 Mei 2020

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini dengan memberi kelonggaran kepada sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi.

Meskipun Kerajaan memberi kelonggaran itu, Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkat (PKPD) tetap akan dilaksanakan di kawasan yang mencatat kes positif COVID-19 yang tinggi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata PKPB adalah sebahagian daripada enam pendekatan dalam strategi Kerajaan memerangi wabak COVID-19 yang menyebabkan krisis ekonomi bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia.

“Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua sudah membuahkan hasil. Kini, kita bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.

“Dengan ini kerajaan akan melaksanakan PKPB. Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih tidak dibenarkan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.

Sektor ekonomi akan dberi kelonggaran untuk beroperasi. (Gambar hiasan/NSTP)

Sejak PKP dilaksanakan kebanyakan sektor ekonomi mengalami kerugian, selain usahawan kecil yang terputus mata pencarian.

Apabila rantaian ekonomi terputus, ini akan memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan negara.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, pendekatan ketiga yang dilaksanakan menerusi PKPB itu diharap dapat mengimbangi ekonomi negara yang mengalami kerugian sekitar RM63 bilion sejak penularan COVID-19.

“Negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan menjadikan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.

“Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion,” katanya.

Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terputus mata pencarian sejak penularan COVID-19. (Gambar hiasan/NSTP)

Berikut ialah strategi memerangi COVID-19 yang merangkumi enam pendekatan:

  1. Ketegasan (resolve) dalam tindakan mengawal penularan wabak COVID-19 dengan melaksanakan PKP.
  1. Membina ketahanan (resilience) melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi.
  1. Menjana semula (restart) ekonomi secara teratur dan terkawal.
  1. Melaksanakan strategi pemulihan (recovery) ekonomi dalam menghadapi norma baharu.
  1. Memperkasa (revitalize) ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan.
  1. Menyusun semula (reform) struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan rakyat melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya norma baharu atau new normal.
Fadzlena Jafar