Categories: FeaturedGaya Hidup

Mangsa COVID-19 dapat bantuan kewangan, kluster kayangan buat hal!

Tabung COVID-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lalu, berjaya mengumpulkan sebanyak RM40,298,699.49 sehingga 7 Mei, hasil ihsan dan sumbangan daripada pelbagai pihak.

Tabung yang diwujudkan bagi mengurangkan beban mereka yang terjejas akibat wabak yang melanda seluruh dunia ketika ini, diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bagi individu yang telah dirawat kerana positif COVID-19 atau kontak rapat kepada pesakit yang dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian bagi COVID-19, akan diberi RM100 sehari bagi 14 hari tempoh kuarantin.

“Daripada dua kumpulan ini, yang layak memohon bantuan adalah rakyat Malaysia sahaja dan mestilah bekerja, tetapi hilang pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian yang diarah dikuarantin oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selama 14 hari.

“Kedua, yang bekerja tetapi hilang pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh rawatan di hospital akibat COVID-19. Bagi mereka yang berada di rumah sepanjang PKP tidak layak menerima bantuan ini,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini.

Foto: Sinar

Beliau menambah, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM125,700 disalurkan kepada 94 individu yang hilang punca pendapatan di bawah Bantuan Khas Hilang Pendapatan.

Selain daripada itu, Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 juga telah diserahkan kepada 71 waris individu yang meninggal dunia akibat COVID-19 dengan jumlah RM355,000.

Foto: Twitter

“Sebanyak RM25,229,105.44 pula telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga menerusi Yayasan Kebajikan Negara untuk bantuan kepada warganegara Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Pada sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan pengurusan hotel mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas individu yang dikuarantin dan sengaja merosakkan peralatan dalam bilik hotel di mana mereka ditempatkan.

Foto: Gempak

“Timbul lagi isu daripada kluster kayangan. Terserah kepada pihak hotel untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu, jika mereka melanggar peraturan hotel dan sebagainya dari segi undang-undang.

“Saya dengar ada yang merosakkan barangan dalam bilik hotel, cadar dan pelbagai lagi yang saya dengar. Hotel mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan (undang-undang) terhadap mereka,” katanya.

Yanie Baharom