Categories: Featured

Nikah Kali Kedua, Aktres Dynas Mokhtar Tetap Nervous!

Hampir empat tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Dynas Mokhtar kembali menjalani kehidupan berumah tangga, apabila selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Syazrik Din dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 35, berlangsung di kediaman keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 10.50 pagi Sabtu lalu.

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa Dynas iaitu Datuk Wan Mokhtar Wan Mohamad dengan mas kahwin RM1,001. Pelakon drama Susuk itu menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang dengan wang  hantaran RM10,000.

Foto : Mstar

Majlis sederhana itu dihadiri kira-kira 100 jemputan termasuk ahli keluarga dan kenalan rapat sahaja. Meskipun pernah berkahwin sebelum ini dan dikurniakan dua cahayamata, Dynas tetap berasa gementar sama seperti pertama kali bernikah.

Tetamu menjadi saksi saat Dynas mengalirkan air mata selepas ibu iaitu Datin Rasiah Shaharuddin memeluk dan memberi kata-kata istimewa padanya.

“Debaran dan gementar tu sudah semestinya saya rasai. Tapi Alhamdullilah syukur semuanya berjalan dengan lancar.

Foto : Mstar

“Hanya sekali lafaz sahaja. Saya menangis pun selepas ibu peluk dan beri kata-kata yang menyebabkan saya tidak dapat menahan rasa sebak,” kata Dynas.

Sementara itu, majlis bertandang akan diadakan pada 28 April depan di Damansara, Petaling Jaya dan disusuli majlis resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei depan.

Sebelum ini, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 26 Oktober tahun lalu. Dynas mempunyai dua orang anak iaitu Khyra Khalyssa yang berusia lapan tahun dan Mohamed Haqaish, 6, menerusi perkahwinan terdahulu.

Foto : Instagram Dynas Mokhtar

Sumber : Mstar Online

Yanie Baharom