Categories: FeaturedGaya Hidup

Norlizawati hasilkan satar dan otak-otak sejuk beku untuk jualan

Tekanan ekonomi menjejaskan banyak pihak, baik yang berniaga dalam skala besar mahupun kecil kerana semuanya terkesan dengan kerenah pasaran yang berdepan dengan masalah turun naik.

Sehubungan itu, ramai yang memilih menukar bidang perniagaan atau tidak kurang juga yang terpaksa gulung tikar kerana tiada pilihan.

Norlizawati Yaacob (kiri) melayan pengunjung yang datang ke gerainya di acara anjuran FAMA pada 2018 . Foto: Norlizawati Yaacob.

Bagi Norlizawati Yaacob, perniagaan makanan kesihatan yang diceburi sejak lima belas tahun lalu terjejas teruk akibat wabak COVID-19 menyebabkan beliau menumpukan sepenuh perhatiannya pada bidang makanan inovasi berasaskan ikan yang kaya dengan sumber protein.

Wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu yang kini menetap di Kampung Sabak, Kota Bharu pada mulanya hampir hilang arah kerana tidak tahu apa yang ingin dilakukan bagi menjana pendapatan dan ekonomi keluarga.

“Saya dan suami jenuh berfikir apa yang kami boleh lakukan demi meneruskan kelangsungan hidup. Pada awal tahun 2005 lalu, saya kebetulan terlihat iklan mengenai kursus pembuatan makanan berasaskan laut yang ditawarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

“Saya dan suami tidak berfikir panjang untuk mendaftar bagi menyertai kursus berkenaan. Kebetulan kursus ditawarkan adalah percuma dan dijalankan di Akademi Perikanan Chendering, tiada masalah untuk kami menyertai kursus seminggu itu,” katanya ketika dihubungi , baru-baru ini.

Satar dibungkus sama saiz di dalam kulit popia oleh pekerja di kilang berkenaan. Foto: Norlizawati Yaacob.

Beliau kemudian terus mengambil langkah proaktif untuk meneroka perniagaan satar popia yang dinamakan Satar Goreng Pantai Sabak dan sentiasa berhubung dengan Pejabat Perikanan untuk bimbingan formulasi dan juga Pejabat Fama Kelantan untuk khidmat nasihat pemasaran setempat.

“Saya dan suami berterima kasih pada Jabatan Perikanan kerana menawarkan kursus berkenaan yang membuka pintu rezeki kepada kami dan juga penghargaan pada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan untuk penerokaan pasaran pengguna tempatan.

“Kini saya mengeluarkan produk satar dan otak-otak ini di kilang bimbingan SME Bank yang terletak di Pengkalan Chepa, Kelantan. Setiap hari kilang berkenaan berupaya mengeluarkan 500 pek satar sejuk beku dan dalam satu pek ada 16 keping satar roll yang dijual pada harga RM6 di pasar tani tempatan atau boleh juga dibeli menerusi dalam talian,” katanya.

Satar Rolls enak dimakan ketika panas. Foto: Norlizawati Yaacob.

Satar ialah makanan tradisi masyarakat di Pantai Timur berasaskan ikan dan kelapa yang diadun dengan bumbu tertentu bagi menambahkan aroma serta dibungkus di dalam daun pisang berbentuk kelongsong kecil.

Namun begitu, satar Kelantan dan satar Terengganu mempunyai sedikit perbezaan dan Norlizawati turut melakukan inovasi dengan mengadun resipi berdasarkan cita rasa Kelantan untuk disesuaikan dengan selera setempat.

Shaidah Shafie