Categories: FeaturedOh Lawa

Puma Suede Kolaborasi Menawan Khusus Buat Peminat Barbie!

Jika anda peminat barangan Barbie, anda perlu rebut peluang yang ditawarkan syarikat pengeluar kasut sukan terkenal, Puma.

Ini kerana, bersempena merayakan ulang tahun ke-50 Puma “Suede”, syarikat berkenaan melakukan transformasi kepada koleksi ikonik berkenaan dalam seleksi warna sinonim dengan anak patung paling terkenal di dunia itu. Ia dinamakan sebagai Puma X Barbie!

Menjelang ulang tahunnya yang ke-60 pada bulan Mac 2019, Barbie telah bergabung dengan Puma dengan menjalinkan satu kolaborasi mengembalikan kegemilangan ikon “Suede” yang pertama kali dikeluarkan pada tahun 1968.

Foto: Vogue.it

Koleksi itu terdiri daripada dua pasang kasut. Gaya “Raspberry Pink” direka sepenuhnya dalam rona warna merah jambu dan diperindahkan lagi dengan ikatan reben putih dan merah jambu bermotifkan cetakan logo Barbie, diikat di bahagian belakang kasut.

Manakala koleksi berwarna hitam, didatangkan dengan pita satin sulaman hitam dan merah jambu.

Khusus untuk koleksi istimewa ini, Puma sedang menghasilkan aksesori sepadan kasut. Kedua-dua pasang kasut itu disertai oleh top crop sporty, hoodie, sepasang bingkap, topi dan ransel. Selain saiz wanita, koleksi ini boleh didapati dalam saiz kanak-kanak.

Kapsul “Suede 50: Puma x Barbie” boleh didapatkan melalui talian di www.puma.com dan di peruncit Puma terpilih bermula 6 Disember depan.

Foto: Sneaker News

Sumber: Malay Mail

Yanie Baharom