Categories: FeaturedOh Lawa

Rouge Hermès serlahkan kecantikan semula jadi wanita

Jenama yang satu ini pernah menghasilkan tas tangan termahal di dunia dan harganya mampu membeli sebuah rumah banglo di kawasan perumahan elit.

Warga Malaysia yang dikatakan memiliki tas tangan Hermès Himalaya Birkin bernilai hampir RM3 juta itu ialah isteri seorang VVIP.

Selepas berjaya mencipta pengaruh dan keyakinan sebagai jenama pembuatan tas tangan terulung dunia, kini Hermès memperkenalkan pula produk kecantikan yang  sudahpun menjadi kegilaan ramai wanita.

Foto: Allure

Sebelum hadir dengan koleksi gincu yang mengancam, Hermès pernah melancarkan produk haruman yang disenaraikan antara 10 jenama pewangi terbaik dunia.

Jenama tas tangan mewah itu mengembangkan rangkaian produk dengan menambah haruman dan produk kecantikan sendiri bukanlah sesuatu yang baharu. Dior dan Chanel antara jenama fesyen yang memberi fokus seimbang antara segmen fesyen dengan kecantikan sejak berpuluh tahun lamanya.

Lewat kebelakangan ini, menjadi ikutan kebanyakan banyak label fesyen untuk melancarkan rangkaian produk kecantikan kerana menyedari produk sebegitu mempunyai pasaran yang cukup meluas.

Foto: Hermes

Bercakap mengenai pembuatan gincu di bawah rangkaian Hermès Beauty, kajian bermula sejak lima tahun yang lalu dan projek ini mempertanggungjawabkan Agnès de Villers, selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Tambah menarik, Hermès Beauty tidak hanya berdiri sendiri, malah mendapat sentuhan Pierre-Alexis Dumas, yang merupakan Pengarah Artistik rumah fesyen Paris ini.

Menurut Pierre-Alexis Dumas, Hermès Beauty diasaskan untuk menonjolkan kecantikan semula jadi yang sudah sedia ada, dan Hermès mahu menambah unsur elegan, keselesaan dan keseronokan pada pencinta kecantikan.

Foto: Preen

Rekaan bekas gincu yang menarik dan pilihan warna yang pelbagai pula adalah satu medium menyerlahkan personaliti individu.

Buat permulaan Hermes Beauty memasarkan rangkaian gincunya (dinamakan sebagai Rouge Hermès) terlebih dahulu dan akan menyusul rangkaian baharu pada September nanti.

Jika kita masih belum mampu memiliki tas tangan Birkin atau Kelly, sekurang-kurangnya anda boleh memiliki gincu jenama ini. Koleksi ini boleh dimiliki di kaunter Hermes di Parkson.

Sumber: YouTube

Yanie Baharom