Categories: FeaturedOh Lawa

Tangisan Datuk Rizalman ketika umum ‘persaraan’ undang pilu peminat

Pemergian beberapa selebriti pada usia muda sejak akhir ini dikatakan antara faktor yang membuatkan pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim nekad mengambil keputusan untuk berundur daripada dunia fesyen tanah air.

Pastinya amat sukar bagi pereka fesyen itu untuk membuat keputusan berkenaan. Lebih-lebih lagi, bukan sekejap untuk beliau mencipta nama yang kukuh di pentas peragaan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bidang berkenaan membuka laluan yang lebih luas untuk menceburi pelbagai perniagaan.

Kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Jurusan Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu mula mencipta nama awal 1990-an sebelum menubuhkan jenama fesyen yang menggunakan namanya sendiri, Rizalman Ibrahim pada 1995.

Pelbagai cabaran dan dugaan dilalui pereka fesyen itu sebelum beliau dan beberapa pereka fesyen lain seperti Datuk Radzaun Radziwill, Bill Keith, Calvin Thoo serta Calvin Ong (sekadar menyebut beberapa nama) berjaya mengangkat martabat industri fesyen tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau melakar sejarah apabila menjadi antara segelintir pereka fesyen yang berjaya mengungguli pelbagai anugerah fesyen berprestij seperti Anugerah Fesyen Antarabangsa-Malaysia (MIFA) pada 2004, Style Star of the Year Award (2008) dan Mercedez Benz Stylo  Award.

Bagaimanapun, beliau yang bakal mencecah usia 49 tahun pada Oktober ini mengakui sudah sampai masanya untuk beliau berundur daripada bidang berkenaan bagi memberi tumpuan pada bidang lain termasuk ingin mendekatkan diri kepada Allah.

Menurut laporan Astro Awani, Rizalman akui berita pemergian mengejut beberapa selebriti pada usia muda membuatkan beliau insaf, sekali gus ingin memastikan beliau mula mendampingi Allah sebagai persediaan apabila dijemput kelak.

“Kematian beberapa teman membuatkan saya terkesan dan terfikir bahawa Allah boleh saja mengambil nyawa kita pada bila-bila masa.

“Saya takut tidak bersedia apabila dijemput oleh Allah. Saya mahu pergi dalam keadaan bersedia. Pengunduran ini adalah pelan persiapan saya untuk menghadapi hari kemudian,” katanya dalam sidang media sejurus berakhir pementasan Kesuma Jiwa di Istana Budaya, semalam.

Yang turut hadir menyaksikan konsert berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Rekaan dan jahitan busana yang dihasilkan jenama Rizalman Ibrahim turut digemari selebriti dan kerabat diraja, malah beliau yang akrab dengan keluarga diraja Pahang turut menghasilkan rekaan busana Tunku Azizah dan beberapa kerabat diraja negeri itu.  

Pada konsert itu, Rizalman turut mempertontonkan rekaan terakhirnya yang dihasilkan dengan kerjasama portal Zalora.

Meskipun berundur daripada dunia fesyen dan menyerahkan urusan membabitkan jenama fesyen Rizalman Ibrahim kepada pembantunya, Faizul Surani, Rizalman berkata, beliau akan meneruskan perniagaannya yang lain termasuk hiasan dalaman dan produk kecantikan.

Bagi peminat Rizalman, anda masih boleh mendapatkan khidmat beliau menerusi beberapa syarikatnya seperti Glam Casa, Glam Reka, Glam Weddings dan RI Maison by Rizalman.

Rizalman juga menghasilkan koleksi edisi terhad DVD rakaman keseluruhan persembahan konsert Kesuma Jiwa berserta trek bonus dan buku kecil gambar-gambar khas di belakang tabir konsert berkenaan.

Rakaman itu turut membabitkan temu bual bersama-sama beliau dan juga penyanyi yang juga rakan baik Rizalman, Dayangku Nurfaizah.

Kredit: Instagram Rizalman @rizaman71

Fadzlena Jafar