Categories: FeaturedGaya Hidup

Tidak perlu ambil risiko ke kedai gunting rambut, ini yang boleh anda lakukan

Pengumuman Kerajaan baru-baru ini yang membenarkan beberapa sektor perkhidmatan untuk beroperasi ternyata mendapat pelbagai reaksi rakyat.

Rata-rata melahirkan kebimbangan kerana menganggap fasa tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April depan sepatutnya diperketatkan lagi bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 sepenuhnya.

Paling mendapat perhatian adalah operasi kedai gunting rambut yang turut berada dalam senarai perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi.

Kredit gambar: Joe’s Barbershop Wangsa Maju

Umum mengetahui, risiko untuk dijangkiti adalah tinggi di kedai gunting rambut kerana persekitaran yang tertutup, ruang terhad selain sentuhan antara tukang gunting rambut dengan pelanggan yang agak mustahil untuk mengekalkan jarak sosial satu meter.

Tambahan pula terdapat kes di Jepun apabila pelanggan dijangkiti COVID-19 kerana berkunjung ke kedai gunting rambut, selain kematian seorang tukang gunting rambut di Mississippi, Amerika Syarikat akibat jangkitan daripada pelanggan.

Susulan itu, ramai yang bimbang dan menyeru agar pihak Kerajaan mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu sidang media berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti semua pandangan rakyat dan akan memperhalusi perkara itu.

Apapun, gunting rambut mungkin satu keperluan, namun ia mungkin tidak diperlukan lebih-lebih lagi dalam situasi yang agak menekan sekarang.

Bagi segelintir masyarakat yang tidak selesa dengan keadaan rambut atau jambang yang sudah panjang, maklumlah hampir sebulan tempoh PKP dilaksanakan, boleh melakukan cara ini buat sementara waktu.

1. Gunting biasa

Fesyen atau gaya rambut bukan satu keperluan pada masa yang sukar ini. Korbankan fesyen yang diidamkan bagi sama-sama memerangi penularan wabak COVID-19.

Kredit gambar: Men’s Hairstyles Today

2. Gunting sendiri

Anda masih mampu kekalkan keterampilan rambut yang kemas kerana gunting rambut boleh dilakukan sendiri di rumah. Tambahan pula terdapat banyak tutorial gunting rambut atau cara menggunakan mesin pemotong rambut dalam saluran YouTube. Jika tiada alat mesin rambut boleh beli secara dalam talian.

3. Minta tolong pasangan

Jika tidak yakin untuk menggunting rambut sendiri, boleh minta pertolongan orang lain yang berada di rumah.

Kredit gambar: Essential Baby

Golongan ibu atau isteri yang mungkin tidak selesa dengan keadaan rambut serabut suami mahupun anak yang sudah panjang, bolehlah menolong menggunting rambut keluarga anda. Bagi yang bujang, mungkin boleh meminta rakan serumah untuk membantu.

Sama-sama kita jaga kita dan duduk di rumah bagi menentang COVID-19.

Ad Ops