Categories: FeaturedSihat

Virus Polio kembali menyerang Malaysia, ketahui petanda & cara mencegahnya

Minggu lepas, kita digemparkan dengan berita mengenai kes polio yang dihidap oleh seorang kanak-kanak dari Sabah, 27 tahun selepas negara ini diisytiharikan bebas daripada penyakit virus berkenaan.

Menurut laporan New Straits Times, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dengan dukacitanya mengesahkan kebangkitan semula penyakit itu di Malaysia.

Polio ialah sejenis penyakit virus berjangkit yang boleh menyebabkan kecederaan saraf yang akhirnya akan mengakibatkan lumpuh, kesukaran untuk bernafas dan kadangkala maut.

Kes polio terakhir di Malaysia telah dilaporkan pada 1992. Negara ini disahkan bebas daripada polio pada 2000 bersama negara-negara lain di rantau Pasifik Barat.

Memandangkan ia sudah kembali, kita semua patut tahu sedikit-sebanyak mengenainya. Teruskan baca untuk ketahui simptom, siapa yang berisiko untuk menghidapnya serta langkah-langkah pencegahan, menurut maklumat daripada Mayo Clinic dan Portal MyHealth.

Siapa yang berisiko

Polio lazimnya menyerang kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Bagaimanapun, sesiapa yang belum mendapatkan vaksin juga berpotensi untuk dijangkiti.

Cara penyebaran

Polio boleh tersebar menerusi sentuhan terus oleh seseorang yang telah dijangkiti. Cara yang kurang lazim ialah menerusi air dan makanan.

Orang yang membawa virus ini juga boleh menyebarkannya menerusi najis mereka selama berminggu-minggu.

Sumber: Immunize.org

Petanda

Walaupun kesan penyakit ini amat serius, ramai mangsanya tidak jatuh sakit dan langsung tidak tahu pun yang mereka telah dijangkiti.

1. Nonparalytic polio (tanpa lumpuh)

Sesetengah mangsa tidak mengalami kelumpuhan. Sebaliknya, petandanya lebih serupa dengan petanda penyakit virus lain:

  • Demam
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala
  • Muntah
  • Keletihan
  • Sakit belakang
  • Sakit tengkuk
  • Rasa kaku pada kaki atau tangan
  • Lemah otot

2. Paralytic polio (lumpuh)

Walaupun ini jenis polio yang paling serius, ia jarang dihidapi. Simptom pertamanya sering menyerupai simptom polio tanpa lumpuh. Dalam masa seminggu, petanda lain akan muncul, termasuklah:

  • Kehilangan reflex
  • Kelemahan atau kesakitan otot yang teruk
  • Anggota badan lembik

Sumber: Wikipedia

3. Post-polio Syndrome

Simptom ini menyerang mereka yang pernah dijangkiti dengan polio beberapa tahun sebelumnya. Petanda biasa termasuklah:

  • Keletihan
  • Atrofi otot
  • Masalah bernafas atau menelan
  • Gangguan pernafasan berkaitan tidur, seperti apnea tidur
  • Penurunan toleransi terhadap suhu rendah

Komplikasi

Paralytic polio boleh mengakibatkan kelumpuhan otot (sementara atau kekal), kekurangan upaya, kecacatan tulang dan maut.

Langkah pencegahan

Cara paling efektif untuk mencegah polio ialah menerusi vaksin. Langkah lain termasuklah: 

  • Cuci tangan dengan air bersih dan sabun selepas menggunakan tandas
  • Minum air yang telah dimasak dengan betul, ataupun air yang dibotolkan
  • Makan makanan yang telah dikendalikan secara bersih. Elak daripada makan sayuran mentah. Kupas kulit buahan.
  • Elak daripada makan makanan berbungkus yang dijual di tepi jalan.

Bila anda perlu jumpa doktor

Sebelum melawat negara-negara di mana polio masih berlaku, atau vaksin polio masih digunakan (seperti Amerika Selatan dan Afrika), dapatkan vaksin polio.

Selain itu, rujuk nasihat doktor jika:

  • Anak anda belum mendapatkan vaksin polio
  • Anak anda alah terhadap vaksin polio
  • Anak anda mengalami reaksi lain selain kemerahan atau rasa sakit pada tempat suntikan vaksin
  • Anda menghidap polio beberapa tahun lalu, kini anda rasa lemah dan letih tanpa sebab

Seorang kanak-kanak di Pakistan diberi vaksin. Sumber: EPA Wires

Sehubungan itu, dapatkan vaksin sebelum terlambat!

Ad Ops