Categories: Filem

Dari Kisah Benar…’Warkah’ Di Pawagam Bermula 15 Ogos Ini!

Tercetusnya idea dan inspirasi pembikinan filem “Warkah” ini bermula daripada kiriman sepucuk surat oleh seorang remaja kepada Ketua Eksekutif PERKESO, Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed.

Melalui coretannya, remaja tersebut telah menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih atas bantuan dan jasa baik PERKESO dalam membantu kehidupan keluarganya hingga dia berjaya memperoleh kejayaan dalam pelajarannya.

Diadaptasi daripada sebuah kisah benar, “Warkah” bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Ogos depan.

Filem arahan Opie Zami ini mengetengahkan pelakon cilik baharu dalam industri seni tanah air. Rayyana Rayqa, 5, yang memegang watak Hana, anak bongsu kepada Kamil (lakonan Namron). Lakonan Rayqa dijangka bakal meruntun jiwa sentimental penonton. Penyandang watak-watak utama ialah Namron, Syazwan Zulkifli, Isyariana, Wafiy dan Rayyana Rayqa.

Filem “Warkah” mengisahkan kehidupan sebenar seorang remaja, Ikmal (lakonan Wafiy), pelajar cemerlang yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan.

Ketika saat menghampiri ambang peperiksaan, ayahnya Kamil (lakonan Namron) ditimpa kemalangan mengakibatkan lumpuh seluruh badan. Ikmal mula bergelut dengan cabaran kehidupan. Namun, kehadiran Cikgu Nur (lakonan Isyariana) membawa harapan baru. Ikmal dibelenggu dengan dilema antara konflik keluarga dan masa depannya. Apakah akan berlaku seterusnya? Siapakah Cikgu Nur?

Buat julung kalinya, OST (original sound track) “Warkah” didendangkan oleh penyanyi Ariff Bahran secara live. Lagu adalah ciptaan Asfan dan lirik hasil nukilan Ahmad Fedtri Yahya.

Di samping menghargai ‘Orang Berinsurans’, pembikinan filem ini juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan peranan PERKESO dalam melaksanakan aktiviti kemalangan dan pengoperasian kepada pencarum memupuk kesedaran pencegahan dan rakyat Malaysia secara amnya.

Filem ini mengajak penonton supaya sentiasa tabah dan berusaha ke arah kehidunan yang lebih baik biarpun ditimpa musibah. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Paparan amalan cara kerja yang selamat dan sihat dalam apa-apa jua keadaan dalam filem ini diharapkan dapat dipraktikkan seterusnya menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian para penonton.

Selain itu, filem ini turut memaparkan nilai muni yang seharusnya disemai dalam jiwa masyarakat Malaysia serta dijadikan budaya demi membentuk masyarakat yang prihatin, peka dan bersatu padu sekali gus memacu Malaysia ke arah negara maju.

SGMS Faida