Categories: Filem

Tonton Apa Hari Ni: ‘Belang’

Isu kewangan adalah isu yang menjadi cabaran bagi segenap lapisan masyarakat. Ini juga masalah yang membelenggu Fahmi dalam filem terbaharu yang dipaparkan di Tonton.

Fahmi adalah seorang jurulatih seni pertahanan diri. Usahanya untuk menghantar murid-muridnya yang pekak dan bisu bertanding di peringkat antarabangsa di Australia menjadi sukar dek kekangan kewangan. Bukan mudah untuk mendapatkan dana.

Walaupun dia telah memohon bantuan daripada pelbagai organisasi, Fahmi tetap tidak berjaya. Pada ketika dia hampir berputus asa, Fahmi telah berjumpa dengan seorang anak yatim yang pekak dan bisu. Fahmi telah mengambil kanak-kanak tersebut menjadi anak angkatnya.

Pada suatu hari, Fahmi telah menjadi saksi sebuah kejadian rompakan. Fahmi telah mendapati para perompak di situ mempunyai sebuah beg yang mengadungi sejumlah wang tunai yang banyak. Dalam pergelutan dengan kumpulan penjenayah tersebut, Fahmi telah terambil beg tersebut.

Apabila dia sedar akan hal ini, timbul rasa ingin menggunakan wang tersebut bagi menghantar murid-muridnya ke pertandingan itu.

Ketua perompak tersebut, Selva, telah menjejaki Fahmi untuk mendapatkan semula beg tersebut. Pengalaman Selva sebagai seorang bekas pegawai polis telah membantunya mencari Fahmi. Hal ini telah membahayakan bukan sahaja nyawa Fahmi seorang, malah juga ahli keluarganya.

Mampukah Fahmi menangani situasi getir ini? Bagaimanakah pula nasib anak-anak murid yang disayanginya itu?

Cerita Apa? ‘Belang’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan