Categories: Filem

Tonton Apa Hari Ni: ‘Doh’

Mengasaskan perniagaan bukanlah perkara yang mudah. Pelbagai risiko dan rintangan perlu diharungi. Namun, mewarisi legasi perniagaan keluarga juga membawa cabaran yang tersendiri. Itulah yang perlu dihadapi oleh Faiz (Syafiq Kyle) dalam filem Tonton Original yang berjudul ‘Doh.’

Setelah pemergian bapanya, Faiz terpaksa mengambil alih aktiviti pengurusan perniagaan yang ditinggalkan. Farhan Bakery adalah perniagaan yang menjual roti dan kuih-muih di bandar lama Ipoh. Kedai tersebut telah bertapak selama hampir 100 tahun.

Komitmen yang tidak diingini ini telah menyebabkan Faiz merasa terbeban. Namun, dia beranggapan bahawa adik-beradiknya, Farah (Aida Amron) dan Fathul (Fariz Isqandar) masih terlalu mentah untuk menggalas tanggungjawab menguruskan perniagaan itu.

Faiz merancang untuk menjaga bakeri itu hanya buat sementara waktu sehingga dia mendapat pekerja baharu. Di lubuk hatinya, penglibatannya dalam perniagaan ini juga adalah bagi memuaskan hati ibunya, Aini (Fatimah Abu Bakar).

Situasi menjadi lebih merunsingkan buat Faiz apabila muncul pesaing moden baharu. Kedai ‘Akhirnya Kini Pastry’ yang diasaskan oleh Yap (Fabian Loo) menjadi tarikan baharu di bandar itu. Ramai pelanggan Farhan Bakery mula berubah arus dan berhenti membeli roti di kedai Faiz.

Walaupun perniagaan bakeri ini bukanlah minat utamanya, Faiz masih bersemangat untuk memastikan ia kekal bertahan. Mampukah dia bersama adik-beradiknya memastikan Farhan Bakery tidak lapuk ditelan zaman?

Cerita Apa? ‘Doh’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan