Categories: Filem

Tonton Apa Hari Ni: ‘KUM’

Pada lewat era 90-an, kisah hantu Kum telah menjadi buah mulut rakyat Malaysia. Biarpun pada ketika itu, media sosial belum lagi wujud, kisah ini tular menerusi perbualan umum. Hantu Kum inilah yang menjadi fokus dalam filem terbaharu yang disiarkan di Tonton, ‘KUM.’

Mawar merupakan watak utama dalam kisah ini. Dia adalah seorang gadis yang telah dilahirkan dengan kecacatan rupa. Akibat daripada itu, dia sering dibuli sejak kecil. Dia juga menjadi penyebab ibunya dituduh sebagai pembawa sial.

Sejak kelahirannya jugalah, bapanya yang dahulu merupakan seorang yang penyayang telah bertukar menjadi seorang pemarah. Bapanya juga telah berlaku curang terhadap ibunya. Hal ini telah memberi tekanan melampau kepada ibu Mawar yang akhirnya telah mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Kedukaan hati telah membuatkan Mawar tekad untuk membalas dendam terhadap perempuan yang menyakiti hati ibunya. Dia telah bertemu dengan seorang dukun dan menuntut ilmu daripadanya. Setelah melalui proses tersebut, Mawar telah menjelma dengan rupa paras yang menawan. Namun, terdapat harga yang perlu dibayar. Mawar perlu membunuh 44 orang anak gadis dan menghisap darah mereka. Itulah dia hantu Kum.

Kehadiran makhluk ini telah mencetus huru-hara di seluruh kampung. Namun, kedudukan Mawar tidak terjejas dek kebijaksanaannya mengaburi mata penduduk di situ dengan menyamar sebagai penjual kain sutera.

Apakah kesudahan kepada kisah ini?

Cerita Apa? ‘KUM’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan