Categories: Gaya Hidup

Dari pentas peragaan bersemayam di singgahsana, hidup Kendra bagai cereka dongeng!

Sebagaimana ajal dan maut, jodoh dan pertemuan itu juga rahsia Allah SWT.

Biar dipisah oleh darjat, keturunan mahupun kedudukan, kalau sudah tertulis jodoh si enggang bertemu si pipit, maka dipertemukan ia dengan apa cara sekalipun.

Jodoh itu juga tidak pernah tersasar daripada apa yang sepatutnya ditemui, pasangan hidup yang juga ditentukan Pencipta. Darjat atau kedudukan yang dimiliki hanyalah status, hakikatnya kita bernafas pada udara yang sama bahkan darah merah yang mengalir warnanya juga sama dengan individu lain.

Begitulah diibaratkan dengan kisah hidup wanita bertuah bernama Puteri Salwa Aga Khan. Membaca kisahnya, seperti kisah dongeng yang wujud dalam dunia nyata!

Foto: Grazia India

Memulakan kariernya sebagai peragawati pentas peragaan, dalam lambakan supermodel terkenal dunia yang cantik menawan, dia yang memaut hati Putera Rahim Aga Khan.

Sepintas lalu mengenai hidup jelitawan ini sebelum bergelar puteri raja, beliau yang dikenali sebagai Kendra Spears ini dilahirkan di Seattle, Washington Amerika Syarikat, 31 tahun yang lalu.

Kendra Spears memulakan karier dalam dunia peragaan dan sering mendapat perhatian pereka jenama terkenal antarabangsa.

Foto: Fashiontography

Foto: fashiongonerogue.

Kendra juga menjadi wajah kegemaran pereka tersohor dan telah memperaga pelbagai jenama mewah di pentas fesyen di New York, Milan dan Paris.

Malah bukan itu sahaja, rupa parasnya yang menawan membuatkan dia sering terpilih untuk ditampilkan sebagai penghias muka depan majalah berprestij di seluruh dunia.

Mengimbau perkenalan pasangan sama cantik sama padan ini, dikhabarkan mereka telah diperkenalkan melalui seorang rakan rapat pasangan ini. Khabar angin yang bertiup kencang mengatakan rakan rapat yang dimaksudkan adalah Supermodel Noami Campbell.

Foto: Hello Magazine

Keluarga Putera Rahim Aga Khan telah mengumumkan pertunangan anak sulung mereka ini pada bulan April 2013. Pasangan ini kemudian berkahwin setelah enam bulan melalui fasa pertunangan.

Perkahwinan gilang-gemilang pasangan ini berlangsung di Geneva, Switzerland. Sebelum berkahwin Kendra Spears telah dikurniakan dengan nama Puteri Salwa Aga Khan.

Pasangan ini dikurniakan dua orang putera, Putera Irfan, 4 tahun dan Putera Sinan, 2 tahun. Keluarga Aga Khan ini merupakan keluarga diraja, tanpa kerajaan tetapi menjadi ketua komuniti Ismaili.

Foto: www.facebook.com

Yanie Baharom