Categories: AcaraGaya Hidup

Diiktiraf Malaysia Book of Records Dengan Lebih 17,000 Penyertaan, Ustaz Uqais Qorny Catat Sejarah Talaqqi al-Quran Tanpa Henti Selama 24 Jam

Bersempena kedatangan tahun 2022, Malaysia Book of Records (MBR) mengiktiraf program anjuran pendakwah bebas, Ustaz Uwais Qorny menerusi program The 24 Hours Non Stop Uwais Qorny’s Online Talaqqi.

Lebih manis, program itu berjaya meraih dua pengiktirafan iaitu sesi pembelajaran Talaqqi tanpa henti selama 24 jam serta jumlah penyertaan tertinggi untuk program Talaqqi yang diadakan secara maya dengan melebihi 17,000 penyertaan.

Menurut Uwais, program yang dianjurkan oleh Protaz International Sdn Bhd itu telah diadakan secara percuma selama 24 jam melalui aplikasi Zoom, bermula 31 Disember 2021 dari jam 7.27 pagi.

“Program itu adalah usaha pihak kami untuk membantu muslimin dan muslimat pandai mengaji dengan betul, memahami pengertian setiap bacaan sekali gus sebagai alternatif lain bagi menyambut 2022.

“Idea untuk mengadakan program ini datangnya daripada netizen yang mengikuti kami di laman sosial dan para pelajar. Sebenarnya, saya jarang adakan kelas Talaqqi sehinggalah satu hari saya ajak pengikut saya untuk sertai kelas Talaqqi yang berjaya tamat sebelum azan Subuh. Alhamdulillah ketika itu hampir 1,000 peserta masih setia bersama,” katanya.

Idea untuk mengadakan program ini datang menjelang sambutan tahun 2022 dan persiapan dijalankan dalam tempoh 10 hari.

“Kemudian datanglah idea ini apabila nak buat kerja ‘gila’ menjelang tahun baharu. Dalam tempoh 10 hari kami nekad adakan program ini dan tak sangka mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada orang ramai.

“Lebih menggembirakan saya mendapat tenaga yang sangat hebat daripada peserta yang majoritinya dalam kalangan warga emas. Mereka ini sanggup ajak anak dan cucu untuk sertai sekali.

“Antara tujuan utama saya adakan program ini adalah nak beri kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya membaca al-Quran dengan betul selain memahami pengertian setiap bacaan.

“Jadi salah satu caranya adalah dengan bertalaqqi. Talaqqi secara mudahnya adalah berguru, dan jika dilihat masyarakat sekarang berguru melalui buku dan internet. Tetapi untuk membaca dan mempelajari al-Quran, perlu untuk pelajarinya dengan guru agar dapat menentukan sebutan dan tajwid yang betul,” katanya.

Uwais juga berharap peserta yang mengikuti program ini sehingga tamat dapat menambah baik bacaan al-Quran mereka.

Padin