Categories: Gaya Hidup

Ini Cara Mudah Untuk Bersihkan Periuk Yang Hangus Supaya Kembali Berkilat

Kadang-kadang bila kita tengah masak, kita dapat panggilan telefon. Bila dah leka bersembang, kita terlupa tentang masakan kita di atas api sampai habis perkakas dapur kita hangus terbakar. Makanan dalam periuk tu tak payah cakaplah.

Kalau tahap kehangusannya teruk sangat, memang susah kita nak cuci balik sampai licin. Takkanlah nak pakai berus besi? Rosak pula permukaan perkakas itu.

Jangan risau! Anda tak perlu buang periuk atau kuali leper anda ataupun beli yang baru. Ia masih boleh diselamatkan! Anda hanya perlukan air dan cuka. Itu saja!

Foto: showandtellonline.com.au

Cara-caranya:

Isikan perkakas hangus anda dengan setengah cawan cuka dan setengah cawan air (sampai cukup untuk melitupi permukaan yang hangus). Letakkannya di atas api dan tunggu sampai mereneh.

Biarkan ia reneh selama 15 minit lagi (bergantung kepada sebanyak mana kotoran degil yang ada pada dasar perkakas tersebut). Lama-lama kotoran itu akan lembut, jadi gunakan senduk atau spatula untuk tanggalkannya.

Apabila kesemua kotoran telah cabut dari permukaan perkakas anda, tutup api dan buangkan air tadi. Sental dengan span cuci pinggan biasa anda untuk menghilangkan kotoran tertinggal. Dah siap! Berkilat tak?

Bonus!

Ada cara lain yang sama efektif dan ia tak melibatkan sebarang bahan kimia. Anda hanya perlukan 2 biji lemon. Belah 4, dan masukkan ke dalam periuk hangus anda yang berisi air. Pasangkan api dan tunggu sampai mendidih. Gunakan senduk untuk tanggalkan kotoran.

P/S: Satu lagi cara yang mungkin anda boleh cuba ialah dengan merendamkan kotoran dengan air Coca Cola selama beberapa jam. Hmm… kalau ia menjadi, ternyatalah air soda ini tak berapa elok untuk diminum selalu.

Sumber: Hometalk, Our World Home

Ad Ops