Categories: Gaya Hidup

Pengantin pandu lalu dan renjis cecair pembasmi kuman tarik perhatian

Susulan krisis wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan, bakal pengantin disarankan untuk menangguhkan dahulu majlis kenduri kahwin yang sudah dirancang bagi mengelakkan penyebaran wabak yang memasuki gelombang kedua itu.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi kenyataannya sebelum ini juga menetapkan larangan mengadakan kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan sesuai dengan arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, jika ada pengantin yang mahu meneruskan majlis akad nikah, mereka hendaklah mematuhi tatacara yang sudah ditetapkan sebagai langkah pencegahan agar wabak COVID-19 tidak terus tersebar dengan meluas.

Terdapat juga pengantin yang masih meneruskan majlis resepsi mereka sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Kredit gambar: YouTube

Bagaimanapun beberapa pasangan pengantin itu mengambil langkah pencegahan seperti memakai dan memberikan tetamu topeng muka, menggantikan upacara merenjis air mawar dengan pemakaian cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer serta membuat majlis kenduri pandu lalu.

Menerusi perkongsian video pemilik akaun Twitter, @amymedusaa, seorang lelaki dilihat merenjiskan cecair pembasmi kuman di tangan pengantin dan tidak bersalam dengan mereka.

Video tersebut menarik perhatian ramai pengikut Twitter dan ada juga yang meninggalkan komen mengenai pengalaman di kenduri kahwin yang dihadiri mereka, termasuklah pihak pengantin menyediakan cecair pembasmi kuman untuk tetamu yang hadir.

Kredit gambar: Twitter Amy Medusaa

Selain itu, tular foto pasangan pengantin yang meraikan majlis perkahwinan mereka dengan berkonsepkan perkahwinan pandu lalu.

Kredit gambar: Farreed Sahar

Memang unik dan kreatif kerana tetamu yang hadir tidak perlu turun daripada kenderaan kerana pengantin sendiri akan menghulurkan makanan dan beg ‘berkat’ kepada mereka. Ini juga bagi mengelakkan pengantin daripada berjabat tangan dengan tetamu, sekali gus mencegah risiko penyebaran penyakit.

Kredit gambar: Farreed Sahar

Kredit gambar: Farreed Sahar

Pengantin juga menyediakan sebuah tabung sumbangan bagi menggantikan ‘salam keruk’ yang kebiasaannya dilakukan pada sesebuah majlis kenduri.

Kredit gambar: Farreed Sahar

Apapun, bagi bakal pengantin yang sudah merancang mengadakan majlis kenduri, seelok-eloknya tangguhkan dahulu majlis sehingga keadaan pulih seperti sedia kala. Patuhi Perintah Kawalan Pergerakan agar wabak COVID-19 dapat dibasmi sepenuhnya.

Ad Ops