Categories: Gaya Hidup

Stesen mengecas telefon secara percuma sebenarnya merbahaya!

ALTERNATIF: Ini sebab anda tidak patut guna stesen mengecas telefon percuma di tempat awam

Kita semua mungkin pernah melalui situasi ini, ketika hendak melancong, telefon pintar atau tablet anda kekurangan bateri dan lebih malang anda tertinggal kabel pengecas di rumah.

Mungkin anda rasa tidak ada salahnya jika anda meminjam sekejap kabel daripada orang yang tidak dikenali. Ataupun anda gunakan saja perkhidmatan stesen mengecas percuma yang ditawarkan di lapangan terbang misalnya.

Nampak seperti tidak ada apa yang merbahaya kerana ia ditawarkan secara percuma, untuk khalayak ramai pula dan siapa yang mahu mengatakan tidak dengan perkhidmatan percuma begini?

Tetapi pada tahun 2019 ada sesuatu berlaku membabitkan perihal mengecas telefon percuma dan kejadian berkenaan mungkin salah satu kesilapan besar yang dilakukan individu berkenaan, menurut pakar keselamatan siber.

Dalam hidup ini, ada beberapa perkara yang anda langsung tidak patut pinjam daripada orang lain, kata ketua X-Force Red di IBM Security, Charles Henderson.

“Jika anda sedang melancong, anda sedar yang anda terlupa membawa seluar dalam. Takkanlah anda mahu pinjam daripada orang lain, kan? Anda mesti akan pergi ke kedai dan membeli yang baharu,” katanya, menurut Forbes. Betul juga!

Menggodam cara baharu

Foto: Pledge Times

Charles mengetuai sebuah kumpulan penggodam yang membantu pelanggan untuk memecah masuk sistem komputer mereka bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang wujud.

Penggodam nampaknya sudah mengetahui cara untuk ‘mencemari’ kabel pengecas dengan malware (sejenis perisian yang direka untuk merosakkan sesebuah sistem komputer itu) yang boleh menceroboh mana-mana alat dan komputer.

Baru-baru ini, di majlis perundingan penggodam DEF CON di Las Vegas, seorang  penggodam yang dikenali sebagai MG mendemonstrasikan sau kabel iPhone yang  telah diubah suai.

Selepas menggunakannya untuk menyambung sebuah iPod kepada sebuah komputer Mac, MG mampu memasuki alamat IP kabel berkenaan untuk mengawal penggunaan komputer Mac itu dari jauh.

Dari jauh juga MG boleh mematikan malware yang ditanam tadi dan menghapuskan segala bukti yang ia telah wujud. Teruknya!

Bagaimanapun, ketika ini kabel pengecas yang ‘jahat’ bukanlah sesuatu ancaman yang sudah merebak luas. Jika ada pun, ia mungkin satu serangan yang disasarkan.

“Tetapi jangan anggap yang ia takkan berleluasa kerana teknik menggodam ini ternyata memang berkesan,” kata Charles.

“Teknologi ini amat kecil dan murah. Nampak sahaja macam kabel biasa tetapi ia mempunyai kemampuan dan kepintaran untuk menyuntik malware ke dalam mangsanya.

“Harga untuk menghasilkan kabel ini akan menjadi lebih murah dan nanti lagi susah bagi pengguna untuk mengenal pasti jika ia selamat untuk digunakan atau tidak.”

Jangan main cucuk sahaja!

Foto: Matador Network

Buat masa ini, Charles berkata, ancaman yang lebih merbahaya ialah stesen pengecas USB yang anda lihat di tempat-tempat awam seperti di lapangan terbang.

“Ada beberapa insiden yang mana orang mengubah suai port USB yang ada di stesen pengecasan. Soket elektrik biasa itu tiada masalah, tetapi port USB itu yang anda perlu waspada apabila menggunakannya.

“Hati-hati dengan apa yang anda sambungkan kepada peranti  anda. Anggaplah ia sama seperti anda membuka kepilan emel ataupun berkongsi kata laluan.”

Dari segi konteks komputer, berkongsi kabel sama ertinya dengan berkongsi kata laluan, kerana itulah tahap pencerobohan yang boleh berlaku melalui teknologi ini.

Jadi, hati-hati ya! Kalau terlupa bawa kabel, beli yang baharu!

Ad Ops