Categories: Gaya Hidup

Wanita dari United Kingdom ini tidak boleh merasai kesakitan dan ini sebabnya

Setiap manusia mempunyai saraf yang menghantar isyarat ke otak terutamanya apabila badan berada dalam keadaan bahaya, namun bagaimana jika anda mempunyai penyakit tidak boleh merasa kesakitan dan penyakit ini  jarang berlaku?

Itulah yang terjadi kepada Jo Cameron yang berasal dari Whitebridge, Inverness-Shire, Scotland ini.

Jo yang berusia 71 tahun ini mula mendapat perhatian daripada saintis apabila mereka terpaksa memujuknya untuk mengambil ubat Paracetamol setelah menjadi pembedahan memindahkan tulang pinggul akibat penyakit ‘arthritis’ yang dialaminya.

Foto: Dailymail.co.uk

Beliau juga mendakwa beliau hanya menyedari tangannya terbakar apabila terbau seolah-olah daging terbakar.

Selain itu, beliau juga pernah mengalami insiden patah tangan setelah terjatuh semasa bermain kasut roda, namun beliau hanya menyedarinya selepas ibunya melihat keadaan tangannya yang agak berbeza dari orang lain.

Hal ini telah menarik perhatian pengkaji genetik United Kingdom yang mendapati bahawa beliau mempunyai dua mutasi dalam DNA yang menghalangnya daripada mengalami ketidakselesaan secara fizikal.

Para saintis berharap bahawa Jo dapat membawa kepada penemuan ubat tahan sakit yang baharu memandangkan beliau juga mengalami kebolehan untuk sembuh daripada luka dengan cepat.

Foto: Dailymail.co.uk

Analisis genetik ini dilakukan oleh pengkaji dari Universiti Kolej London dan diketuai oleh Dr James Cox, pensyarah kanan dalam bidang rangsangan genetik mamalia.

“Kami mendapati bahawa wanita ini mempunyai genotip tertentu yang mengurangkan aktiviti gen yang menjadi sasaran utama dalam rawatan kesakitan dan kebimbangan melampau,” kata Dr Cox.

“Memandangkan gen baharu ini sudah diidentifikasi, kami berharap ia dapat membawa kepada pelbagai perkembangan dalam perubatan,” jelasnya.

Menariknya, beliau tidak merasakan sebarang kesakitan sewaktu melahirkan anak, malah beliau juga tidak mudah berasa panik walaupun pernah mengalami kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

Bagaimana? Adakah keistimewaan seperti dialami Jo Cameron ini boleh dianggap sebagai kelebihan atau sumpahan?

Sumber: Dailymail.co.uk

tex_admin