Kagum Semangat Bella, Kerjaya Didi Astillah Kini Diurus Kakak

Pelakon Didi Astillah berkongsi rasa kagum dan bangga terhadap kakaknya, Bella Astilah yang memiliki emosi yang kuat.

Kata Didi ketika ditemui di majlis pelancaran produk terbaru Crocs petang tadi memberitahu tidak dapat membayangkan sekiranya dia berada di tempat Bella.

“ Kadang-kadang saya kecewa dengan penulisan sesetengah netizen yang mengecam kakak saya di media sosial. Anda tidak berada ditempatnya, bayangkan seketika jika anda diuji dengan situasi begitu, apa akan jadi?

“ Saya percaya kakak mempunyai sebab tersendiri meluahkan perasaan di laman Instagram. Bukan sesuka hati dia mahu berbuat demikian jauh sekali meraih simpati. Bezanya, Bella adalah seorang figura dikenali maka apa yang ditulisnya terus menjadi bualan netizen,” katanya kepada XTRA.

Sebelum ini, Didi mengaku menangis setiap malam mengenangkan kontroversi rumah tangga Bella dan Aliff Aziz.

Bekas peserta Idola Kecil ini juga memaklumkan kakak kesayangannya itu kini menguruskan kerjaya seni Didi.

“ Kak Bella adalah pengurus saya buat masa ini memandangkan saya tidak bernaung di mana-mana syarikat pengurusan atau label.

“ Selepas lima tahun bernaung di bawah dua syarikat pengurusan terkenal sebelum ini, saya selesa kerjaya seni saya dipantau oleh kakak,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Didi akan terbang ke Sandakan bagi menjalani penggambaran drama 13 episod di sana pada minggu ini. Good luck Didi!

Wartawan: SGMS Nanie

 

SGMS Faida