“3 Hari Kenal Terus Lamar Pada Bulan Ramadan” – Isteri Adam Corrie Kongsi Kisah Kahwin Berlainan Bangsa

Pelakon Adam Corrie berkongsikan kisah permulaan dirinya berhijrah ketika mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, Fazima Mohd Fuad sempena hari ulang tahun perkahwinan ke-14.

Menerusi muat naik di Instagram, Adam atau nama lengkapnya Adam Corrie Lee Abdullah meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan isteri yang baik malah setia membantunya mendalami islam.

“Alhamdulillah sudah 14 tahun usia perkahwinan kami.

“Terima kasih Allah kerana kurniakan bidadari yang baik. Dan terima kasih bidadari saya kerana menerima lamaran saya 14tahun yang lepas dalam keadaan saya yang baru kenal Islam, seorang selebriti, berlainan bangsa dan budaya.

“Tapi alhamdulillah bidadari terima saya seadaanya. Malah membantu saya mendalami dan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dengan baik selepas sah menjadi suami isteri.

“Alhamdulillah.…. atas berkat sabar dan saling ingat mengingati diri saya dalam semua perkara. Jatuh bangun sentiasa bersama member sokongan.

“Semoga Allah SWT memberkati rumahtangga kami sehingga ke Jannah. Amin allahumma aamin,” harapnya.

Menjengah ke profil isterinya pula, Fazima menceritakan detik-detik awal perkenalannya bersama pelakon KL Gangster itu dan menganggap kisah perkenalan itu ibarat cerita dongeng.

“Macam cerita dongeng. Kisah berlainan bangsa, muallaf, budaya, dan dia seorang selebriti pula tu. Sah diijab kabulkan 14 tahun yang lalu.

“3 hari kenal terus di lamar di bulan Ramadan. Lepas 2 bulan jadi suami isteri yang sah.

“Memang kerja gila. Bukan mudah berkahwin dengan berlainan bangsa, budaya dan selebriti muallaf memang boleh gila kalau tak sabar.

“Kena kuat mental, fizikal dan kena ada ilmu untuk membantu suami yang muallaf kenal Islam dan terus mengamalkan Islam.

“Tapi itulah realiti. Bercinta dan berkenalan selepas sah jadi suami isteri,” ceritanya.

Untuk info, Adam memeluk agama Islam pada 13 Julai 2007 sebelum mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Fazima Mohd Fuad pada 21 November 2008.

Khairil Khusyairi