“Mulanya Hanya Terpelecok Kaki Kanan…” – Tak Boleh Terlalu Aktif, Ebby Yus Terpaksa Berehat

Pelakon dan pelawak, Ebby Yus terpaksa berehat buat sementara waktu selepas dimasukkan ke hospital selama dua minggu untuk rawatan, bulan lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid sebelum ini menghidap masalah jantung dan buah pinggang perlu berehat seketika dan tidak boleh terlalu aktif.

“Pada mulanya hanya terpelecok kaki kanan semasa nak keluar rumah bagi menghadiri satu majlis alumni sekolah kerana saya dipilih sebagai pengacara pada 26 September lalu.

Jadi, sebab dah janji dan saya juga salah seorang alumni, kenalah tunaikan,” katanya.

Menurutnya, masalah jantung dan buah pinggang datang kembali selepas kejadian tersebut.

“Tapi, sakitnya kaki itu jangan cakaplah, memang tak boleh nak tahan pun. Tapi, saya teruskan bekerja sampailah tak boleh jalan dan masuk hospital untuk rawatan.

“Jadi, tersangkutlah semula dengan masalah jantung dan buah pinggang. Malah, saya hampir nak kena buat dialisis sebab buah pinggang rosak di tahap lima,” ujarnya.

Kini, dia sangat menitikberatkan soal kesihatan diri dan perlu menjalani pemeriksaan berkala di hospital mengikut temujanji doktor yang ditetapkan.

Tambahnya, dua minggu lagi dia akan membuat pemeriksaan jantung dan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kredit foto: Kosmo

Maya Basir