Konsert Sulung Hael Husaini Ditunda, Janji Persembahan Energetik 19 Februari Depan

Konsert sulung penyanyi Hael Husaini yang dijadualkan pada 4 Disember depan ditunda ke tarikh 19 Februari 2023 bermula 8.30 malam yang bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Menerusi kenyataan Ketua Rocketfuel Entertainment, Encik Feros Sayna, berkata, peminat yang telah membuat pembelian tiket tidak perlu risau malah menjanjikan sebuah konsert yang bertenaga.

“Pertama sekali, bagi pihak pengurusan kami ingin memohon maaf di atas penukaran tarikh konsert tersebut.

“Kepada setiap pembeli tiket konsert yang telah pun membuat pembelian, jangan risau kerana tiket tersebut kekal sah pada tarikh yang telah dijadualkan semula.

“Sebagai tambahan, Rocketfuel menjanjikan sebuah konsert yang energetik dan penuh bertenaga yang berkonsepkan ‘boogie shoes’ dimana penonton digalakkan ‘sing-along’ serta ‘dance-along’ sepanjang durasi konsert.

“Terima kasih sekali saya ucapkan buat semua pihak kerana bersabar dengan penundaan ini, dan sekali lagi kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul,” ujarnya.

Menurut Hael pula, dia menganggap konsert Hael Husaini Live In KL ini ibarat mementaskan perjalanan karier seninya yang kini sudah mencecah 15 tahun.

“Selama 15 tahun saya berkecimpung dalam industri muzik tanah air, ini merupakan impian saya sedari dulu lagi, banyak yang ingin saya tonjolkan pada malam konsert tersebut yang berkonsepkan festival, saya menganggap konsert ini sebagai pementasan perjalanan karier seni saya secara muzikal, bagaimana saya bermula, apakah perbezaan muzik dan karya saya dari dulu sehingga kini bukan sahaja sebagai penyanyi malah sebagai pencipta lagu, semuanya akan saya sampaikan melalui persembahan pada malam konsert nanti,” jelas pelantun lagu Haram itu.

Sebarang pertanyaan berkaitan konsert boleh diajukan kepada Joe Saiful di talian 012-2048142.

Khairil Khusyairi