8 Tahun Tidak Berlakon, Ini Antara Sebab Hanis Zalikha Setuju Untuk Muncul Dalam Filem The Assistant

Pengacara dan pelakon jelita, Hanis Zalikha akui masih kekok untuk berlakon bersama suaminya, Hairul Azreen dalam fikem aksi ‘The Assistant’.

Hanis yang memegang watak sebagai Yasmin dalam filem arahan Adrian Teh itu memberitahu ada beberapa faktor yang menyebabkan dia menerima tawaran tersebut, setelah lama mendiamkan diri daripada bidang lakonan.

“Saya lebih kepada untuk menyokong suami, kerana saya tahu jika saya buat Hairul lah orang yang paling gembira.

“Lagi satu saya rasa filem ini sangat berlainan. Seronoknya kalau dapat jadi sebahagian dari filem ini. Sayang juga kalau tolak,” katanya.

Tambah Hanis, setelah membawa watak Yasmin dia lebih memahami mengenai kerjaya suami tercintanya yang sering terlibat dalam filem aksi seperti Paskal.

“Bila saya lakonkan watak Yasmin ini, barulah saya faham betul-betul macam mana kerja Hairul selama ini apabila dia terlibat dengan filem aksi.

“Baru saya faham kenapa sesi latihan dia mengambil masa selama tiga bulan.

“Saya nak lakonkan satu babak sahaja pun saya rasa banyak benda yang saya perlu lakukan dan saya perlu fit.

“Itu yang saya tak sempat nak lakukan kerana sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak, saya ada banyak perkara yang perlu diuruskan.

“Bila di set pula, biarpun kita telah mereka koreografi untuk babak itu, tetapi tiba-tiba pengarah mahu membuat penambahan, jadi semuanya akan berubah 360 darjah,” ujarnya.

Melihatkan Hairul juga merupakan seorang yang handal dalam melakonkan babak aksi, Hanis akui dia agak kekok pada mulanya untuk mendapatkan tunjuk ajar dari suaminya itu.

“Sebenarnya bukan senang suami nak ajar isteri dan isteri nak ajar suami. Sama juga macam mak nak ajar anak, kadang-kadang kita give up.

”Cikgu sahaja yang boleh ajar. Bila Hairul cuba ajar saya, saya jadi macam manja-manja dan merungut susah,” katanya.

Aqilah Paharuzi