A Rahman Hassan Meninggal Dunia

Penyanyi Datuk A Rahman Hassan meninggal dunia di Hospital Ampang (HA) pada jam 12.40 tengah malam tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas mengalamai masalah jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.

Berita ini disampaikan oleh anak Allahyarham, pelakon Khir Rahman yang memaklumkan bapa tersayang sudah tiada.

“ Alhamdulillah berkat doa semua, arwah abah telah pergi dengan baik sekali. Semoga abah ditempatkan bersama mereka yang beriman dan dikasihi Allah,” tulisnya.

Tambah Khir, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat selepas solat Zohor, hari ini.

Memetik laporan BH Online, anak saudaranya, Azlee Senario, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan anak-anak.

“Doktor meminta isteri, anak-anak dan ahli keluarga datang bertemu arwah apabila keadaannya semakin kritikal selepas Maghrib.

“Arwah hanya bergantung pada alat bantuan pernafasan sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak tiga hari lalu.

“Jenazah akan dibawa ke kediamannya di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, selepas urusan bedah siasat selesai,” katanya kepada.

Terdahulu, Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang sebelum dihantar ke HA menaiki ambulans, Isnin lalu.

Pada 1 Jun lalu, A Rahman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah jantung. Bagaimanapun, arwah dibenarkan pulang dua hari menjelang Aidilfitri.

SGMS Faida