“Aafiyah Tiada Akaun Instagram, Jangan Salah Guna Nama Anak Saya” – Datuk Seri Siti Nurhaliza

Bila popular, mula lah orang ambil kesempatan dan anak kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin juga tak terkecuali. 

Baru-baru ini melalui postingnya di akaun instagram @ctdk,  Siti (40) menyelar sikap sesetengah individu yang menggunakan nama anaknya, Siti Aafiyah untuk membuat akaun media instagran untuk menjalankan perniagaan atas talian dan meraih keuntungan secara tidak beretika.

“Terlalu banyak akaun yang menggunakan nama anak saya, Siti Aafiyah, saya juga mendapat aduan daripada peminat-peminat saya yang prihatin apabila instagram yang menggunakan nama Aafiyah digunakan untuk perniagaan pelbagai barangan…dan produk tersebut bukan daripada perniagaan saya. 

“Saya sangat bermohon agar jangan mengambil kesempatan di atas nama Aafiyah apatah lagi terdapat beratus-ratus akaun di atas nama Aafiyah.

“Saya di sini sekali lagi ingin menegaskan bahawa Aafiyah TIDAK MEMPUNYAI AKAUN INSTAGRAM dan saya berharap anda tidak terpedaya jika ada yang menyamar atau menjual produk bukan dari perniagaan saya ataupun menggunakan akaun tersebut untuk tujuan-tujuan tidak baik. 

“Berniagalah dengan jujur dan jangan menyalahgunakan nama Aafiyah,” tegas Siti.

 

Melalui foto yang dikongsi oleh Siti di dalam entri instagram tersebut, memang terdapat banyak akaun palsu yang menggunakan nama si cilik ini dan ini boleh mengelirukan orang ramai memandangkan ada di antara artis-artis di Malaysia seperti pasangan selebriti Hanis Zalikha dan Hairul Azreen, juga Scha Alyahya dan Awal Ashaari yang mewujudkan akaun instagram bagi anak-anak mereka.

 

 

Penyanyi lagu Anta Permana ini mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 dan mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan, Siti Aafiyah yang kini berusia setahun.

Del14