Abon Hasrat Nak Undur Diri, Ebby Yus Anggap Lumrah Artis Veteran Tak Ada Job – “Zaman Kegemilangan Kita Dah Berlalu”

Pelawak Ebby Yus mengakui kurang mendapat tawaran ‘job’ apabila sudah berusia dan bergelar artis veteran.

Menurut laporan Utusan, pemilik nama Muhammad Yunus Abdul Rashid ini berkata, dia terima dengan situasi semasa industri yang cukup meriah dengan bakat-bakat baharu.

“Lumrah apabila meningkat usia, dah veteran, kita tak ada banyak sangat ‘job’ macam dulu. Lagipun, pelapis baharu ramai dan mereka juga ada benda baharu, idea baharu.

“Secara peribadi saya rasa, artis lama macam saya ini kena terima keadaan itu. Zaman kegemilangan kita dah berlalu. Macam saya dengan Sepah, dulu mereka tumpang populariti saya, tetapi sekarang saya pula yang tumpang populariti mereka.

“Ini juga berbalik kepada soal rezeki. Saya pun nak kata ada banyak sangat ‘job’, tidak juga. Apa yang mampu saya buat, saya teruskan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan rakan seindustri, pelawak Abon yang mengumumkan mahu mengundur diri daripada bidang seni baru-baru ini.

Ebby berpendapat setiap anak seni tidak perlu berputus asa sebaliknya menyerahkan soal kerja pada rezeki.

Malah, Ebby juga mengagumi Abon sebagai seorang pelawak yang hebat dan menggelarkannya sebagai legenda dalam industri seni tanah air.

“Kami berada dalam industri yang sama dan pernah melalui era kegemilangan sama. Berbanding saya, Abon lebih bagus komedinya. Tetapi berbalik kepada soal rezeki Allah SWT. Kalau ditanya pada saya, tak perlu putus asa.

“Kita kena percaya pada rezeki. Kita kena terima yang bila dah hujung usia begini, ada jenaka kita yang orang tak boleh terima dah, atau idea yang lama.

“Macam Badul, dia dulu pun mempunyai pengaruh kuat dalam bidang komedi ini. Tetapi, saya percaya, Abon walaupun tak dipanggil stesen televisyen, dia punya ‘show’ di luar lagi banyak. Sebab itu dia bertaraf legenda,” katanya.

Terdahulu, Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad, berhasrat untuk mengundurkan diri dari bidang seni kerana kecewa tidak lagi menerima sebarang tawaran.

ARTIKEL BERKAITAN: “Doktor Saran Pasang Bateri Pada Jantung Saya Sebab Dah Lemah” – Ebby Yus

Sumber: Utusan Malaysia

Khairil Khusyairi