ABPBH35: Tuah Mat Kilau & Imaginur, Beto Kusyairy Masih Di Awangan… Tak Percaya Rangkul Gelaran Aktor Filem Popular

“Sejujurnya, saya rasa macam out of place.. pelik, macam ya tak ya je rasa tu sebab yela kita media sosial pun followers tak sampai sejuta,”

Demikian respons pelakon Beto Kusyairy apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Aktor Filem Popular ABPBH 35 pada Jumaat lalu.

Tidak menafikan pihak produksi pada zaman kini menitikberatkan kriteria ‘followers’ di media sosial, Beto bagaimanapun bersyukur atas hasil titik peluh peminatnya yang mengundi.

Jelasnya, antara dua filem yang banyak memberikan impak positif sepanjang kariernya adalah filem Mat Kilau dan filem Imaginur.

“Producer sekarang pun kriteria dia followers kena lebih sejuta tapi Alhamdulillah, popular juga rupanya saya.

“Saya hargai mereka yang meluangkan masa, tenaga untuk mengundi saya. Saya sebenarnya tidak mengharapkan kemenangan ini, saya cuma jaga hasil kerja saya.

“Saya rasa dengan memberikan yang terbaik dalam kerja itu adalah cara saya menghargai penyokong dan peminat saya.

“Saya tak boleh nafikan antara filem yang memberi impak kepada kerjaya seni saya adalah Mat Kilau dan Imaginur.

“Kedua-dua filem ini memberikan impak tersendiri mungkin pada setiap yang menonton,” katanya lagi.

Pada malam kemuncak ABPBH35, Beto merangkul trofi Aktor Filem Popular menewaskan Datuk Adi Putra, Fattah Amin, Zizan Razak, dan Zul Ariffin.

Aqilah Paharuzi