Achey Dedah Keadaan Selepas Pembedahan Stabil, Perlu Jalani Sesi Fisioterapi

Keadaan pelawak dari kumpulan Bocey iaitu Achey, dikhabarkan telah stabil setelah menjalani pembedahan berkaitan dengan tulang belakang pada Selasa lalu.

Memetik artikel Berita Harian, keadaan Achey sebelum menjalani rawatan tersebut, dia mengalami masalah kaki kebas dan penglihatan serta dirawat di sebuah hospital di Batu Pahat.

“Sebenarnya, sukar hendak menjelaskan masalah kesihatan saya. Apa yang boleh saya katakan, keadaan saya alami ini dikategorikan di bawah sakit ‘slipped disc’.

“Bagaimanapun, saya tidaklah alami ‘slipped disc’. Cuma cecair antara tulang tunjang di belakang badan membengkak.

“Apabila ia membengkak, ia menghimpit saraf tunjang membuatkan kaki saya kebas dan penglihatan kabur.

“Disebabkan keadaan itu, saya ditahan di hospital, Isnin lalu. Keesokan harinya, saya perlu jalani rawatan laser di mana doktor tebuk empat lubang di belakang badan,” jelas Achey.

Walaupun berada dalam keadaan yang stabil selepas pembedahan, Achey juga masih perlu menjalani rawatan fisioterapi selepas dibenarkan pulang.

Sumber: Berita Harian

Izzi Farhana