‘Ada Yang Pandang Rendah’- Achey Kecil Hati Kena Kritik?

Pelawak dan penyanyi, Achey mengaku pada awal kemunculan sebagai penyanyi, ada pihak yang memandang skeptikal terhadapnya.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah memberitahu dia tidak pernah kecil hati dengan kritikan berkenaan malah mengambil kata negatif sebagai penguat.

Lebih istimewa apabila singlenya berjudul Yang Terindah mencatat lebih 30 juta tontonan di Youtube.

“Tidak dinafikan, ada sesetengah pihak yang bersikap skeptikal dan memandang rendah terhadap saya kerana memulakan langkah dalam bidang seni sebagai pelawak. Sekadar ingin melakar memori indah untuk diingati pada masa hadapan, saya berterima kasih kepada sokongan semua kepada saya.

“Kecaman dan kata-kata negatif itu dijadikan penguat semangat untuk memberikan yang terbaik. Sekali gus, membuktikan apa yang mereka dakwa itu adalah tidak benar sama sekali. Ia tidak seharusnya dijadikan pembantut impian sebaliknya diri kita mampu untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Apatah lagi, naskhah yang dihasilkan ikhlas daripada hati untuk dikongsikan kepada semua. Yang Terindah lahir hasil daripada ketulusan cinta suami buat isterinya, dan banyak persamaannya buat pasangan di luar sana,” katanya kepada Xtra.

Ingin menyandang gelaran artis versatil, Achey berterima kasih kepada syarikat rakaman, 17 Eleven Music dan komposer Zimy atas kepercayaan diberi.

Selain Yang Terindah, Achey turut melancarkan single Anak ciptaannya tanda cinta buat si puteri, Nur Tiara Zinnirah Mohd Nasir yang kini berusia setahun dua bulan.

SGMS Faida